X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Kelantan, Terengganu mula bersekolah esok

Radzi (kiri) meninjau proses persediaan untuk menerima murid dan pelajar di Terengganu pada Sabtu.
A
A

HULU TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Dua negeri bagi kumpulan A iaitu Terengganu dan Kelantan manakala di Kedah hanya melibatkan Pulau Langkawi akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada Ahad.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pembukaan sekolah di setiap negeri berkenaan adalah secara berperingkat dan tidak membabitkan semua murid.

"Pembukaan sekolah di Terengganu, Kelantan dan di Langkawi bermula esok adalah secara berperingkat. Tidak semua murid perlu hadir ke sekolah esok.

"Ibu bapa juga perlu peka terhadap Fasa PPN di negeri masing-masing serta fasa persekolahan anak-anak mereka bagi memastikan proses anak-anak ke sekolah berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Mereka juga disarankan mengikut ketetapan pelan komprehensif pengoperasian sekolah seperti diumumkan KPM sebelum ini," katanya menerusi kenyataan, pada Sabtu.

Sesi persekolahan pada Ahad melibatkan murid sekolah menengah yang menghadiri kelas peperiksaan iaitu murid tingkatanlima dan enam yang hadir secara bergilir kecuali murid bagi sekolah berasrama yang tinggal di asrama sepenuhnya dan juga murid tingkatan enam semester dua.

Bagi murid sekolah rendah pula melibatkan murid prasekolah dan murid berkeperluan khas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Dalam pada itu, Radzi berkata, pihak sekolah perlu memastikan aspek pengudaraan di dalam kelas di samping bilik pengajaran dan pembelajaran (PdP) sentiasa dalam keadaan baik sepanjang sesi persekolahan.

Katanya, fokus sama perlu diberikan terhadap kawasan pejabat dan bilik guru.

"Saya berharap pengetua dan guru besar dapat memastikan sesi persekolahan esok berlangsung dalam keadaan teratur dan selamat.

"Ibu bapa atau penjaga juga dimohon agar mengikut ketetapan garis panduan bagi memastikan kelancaran sesi persekolahan, khususnya sewaktu ketibaan dan penyuraian.

Pada Sabtu, Radzi meninjau persiapan akhir pembukaan sesi persekolahan bersemuka di tujuh sekolah di daerah ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Telemong; SM Sains Hulu Terengganu; Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu; SMK Seri Berang; SMK Tengku Ampuan Intan; SMK Tun Indera dan SMK Ajil.

Katanya, secara keseluruhan, pihak sekolah bersedia untuk memulakan sesi persekolahan bersemuka mengikut garis panduan ditetapkan.

Beliau berkata, negeri-negeri dalam kumpulan B pula akan memulakan sesi persekolahan pada Isnin.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!