Greysia Polii puji prestasi skuad muda negara

Greysia Polii (kanan) dan Apriyani Rahayu. - FOTO: BADMINTON PHOTO
Greysia Polii (kanan) dan Apriyani Rahayu. - FOTO: BADMINTON PHOTO
A
A
A

PEMAIN beregu wanita Indonesia dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Greysia Polii memuji persembahan skuad muda Malaysia selepas menyingkirkan pasukan negaranya di suku akhir Piala Sudirman di Vaanta, Finland, awal pagi Sabtu.

Kejayaan 3-2 menewaskan musuh tradisi dalam perlawanan berlangsung selama enam jam yang dianggap sebagai pertembungan Nusantara itu, menyaksikan Malaysia mara ke separuh akhir buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun sekali gus kemenangan pertama Malaysia ke atas Indonesia dalam sejarah kejuaraan tersebut.

Greysia berkata, langkah berani Malaysia menurunkan kebanyakan pemain muda ke kejohanan berpasukan itu harus diberikan penghormatan.

“Indonesia selalu di hati, berjuang utk bangsa gak boleh luntur. Tapi tetap beri tepuk tangan dan salut sama Malaysia yang memberanikan diri menurunkan tim yang kebanyakan semua umur masih muda. Boleh belajar,” menurutnya dalam ciapan di akaun Twitter rasmi @GreysPolii.

Greysia dan pasangannya Apriyani Rahayu yang masih segar dengan kejayaan meraih emas beregu wanita di Tokyo, diberi tentangan sengit pasangan negara Pearly Tan-M. Thinaah sebelum menghadiahkan mata penyamaan buat Indonesia pada perlawanan keempat dengan kemenangan 22-20, 17-21, 21-18.

Mata kemenangan Malaysia disumbangkan gandingan beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dengan kejayaan 21-19, 9-21, 21-16 ke atas Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti untuk mara ke separuh akhir. - Bernama

Artikel Berkaitan: