Duterte umum bersara dari politik

Duterte. - Foto AP
Duterte. - Foto AP
A
A
A

PRESIDEN Filipina Rodrigo Duterte mengumumkan bakal bersara daripada politik selepas tamat penggal pentadbirannya, sekali gus berundur daripada perancangan awalnya untuk bertanding sebagai Naib Presiden pada pilihan raya tahun depan.

Pengumuman mengejut itu dibuat selepas beliau mengiringi Senator Bong Go yang mendaftar sebagai calon Naib Presiden pada Sabtu.

Duterte sebelum ini pernah mengumumkan pelannya untuk bertanding sebagai Naib Presiden.

Namun, ketika itu, ahli politik pembangkang menegaskan pihaknya akan membantah tindakan Duterte dan ia akan dibawa ke Mahkamah Agung bagi mempersoalkan sama ada ia sah atau sebaliknya dari segi undang-undang.

Pengunduran Duterte menambah lagi spekulasi bahawa beliau memberi laluan kepada anak perempuannya, Sara Duterte-Carpio untuk mengambil alih.

Malah, anaknya sudah menggantikan Duterte sebagai Datuk Bandar Davao.

Namun kata Sara pada bulan lepas, dia tidak akan bertanding untuk jawatan tertinggi negara pada tahun depan kerana telah bersetuju dengan Duterte supaya hanya salah seorang daripada mereka bertanding pada pilihan raya 2022.

Untuk rekod, selepas Duterte dinamakan sebagai Presiden pada 2016, beliau tekad mempergiatkan kempen membanteras dadah.

Artikel Berkaitan:

Lebih 6,000 suspek yang dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah secara kecil-kecilan terbunuh akibat kempen tersebut, sehingga menimbulkan kebimbangan kumpulan hak asasi manusia.

Ketika ini, pembunuhan melalui kempen itu sedang disiasat Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). - Sumber Awani