Polis Bentong perketat kawalan keselamatan di lokasi kebakaran

Laporan Sinar Harian pada Sabtu mengenai kebakaran di Kampung Baru Cina Karak pada malam Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu mengenai kebakaran di Kampung Baru Cina Karak pada malam Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Polis Bentong memperketatkan kawalan keselamatan di sekitar lokasi kebakaran Kampung Baru Cina Karak, Bentong bagi mengelak kawasan itu diceroboh.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kini pihak bomba sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran itu.

"Jadi, pihak kita akan meningkatkan kawalan agar tempat kejadian tidak diceroboh dan diganggu sepanjang proses siasatan dilakukan.

"Pada masa sama, kita juga melakukan kawalan trafik di lokasi kejadian dan menerusi Ketua Polis Balai Karak, saya akan membantu penduduk terlibat dalam proses membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: 48 rumah, lapan kedai terbakar di Karak

Sebelum itu, Zaiham berkata, kebakaran tersebut melibatkan 48 rumah dan lapan kedai di kampung berkenaan.

Tambah beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam memaklumkan kejadian terbabit pada jam 9.10 malam.

"Pada jam lebih kurang 9.20 malam pihak bomba bersama polis telah sampai di tempat kejadian. Kita dapati tiada sebarang kemalangan jiwa mahupun kecederaan dalam kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

"Pihak bomba telah berjaya mengawal api sepenuhnya lebih kurang jam 12.05 tengah malam dan usaha memadam kebakaran ini juga melibatkan beberapa buah jentera bomba dari balai-balai bomba berdekatan termasuk juga bomba sukarela dan beberapa agensi berkaitan," katanya.

Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba dan jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan.