X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 25 Mei 2022

Peguam Negara digesa perjelas kes profil tinggi dibebas: PH

Jabatan Peguam Negara. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM – Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun digesa memberi penjelasan berhubung trend kes mahkamah melibatkan individu berprofil tinggi serta penyokong parti pemerintah telah dilepas atau dibebaskan daripada pendakwaan sama ada memulangkan sejumlah wang yang didakwa diterima secara tidak sah atau dengan membuat bayaran kompaun.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan berkata, ia memandangkan keputusan untuk mendakwa atau menarik pendakwaan terhadap seseorang itu terletak di tangan Peguam Negara.

“Terbaharu adalah kes yang melibatkan Ahli Parlimen Pontian merangkap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang didakwa menerima sejumlah wang daripada Datuk Seri Najib Tun Razak yang dipercayai dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Ahmad telah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut setelah beliau membayar kompaun walaupun perbicaraan telah bermula dan walaupun media melaporkan pada mulanya beliau enggan membayar kompaun serta mahu kes ini dibicarakan,” kata kenyataan itu pada Sabtu.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Menurut kenyataan itu, Peguam Negara juga perlu menjelaskan apakah ini akan menjadi prosedur operasi standard (SOP) baharu terutama bagi kes-kes mahkamah berprofil tinggi yang lain.

“Adakah SOP kini membolehkan seseorang boleh didakwa mencuri wang untuk dilepaskan dengan membayar balik sebahagian daripada ‘barang kes’ tersebut?” soal kenyataan itu.

Dalam pada itu, Majlis Presiden PH turut menyatakan kesal dengan sikap acuh tidak acuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengiakan trend baharu ini.

“Bolehkah SPRM memberikan penyelesaian serupa kepada semua kes rasuah dengan pembayaran balik wang sogokan yang dirampas sepertimana yang membabitkan ahli politik penyokong kerajaan?” soal kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, demi menegakkan kedaulatan undang-undang dan konsep negara hukum atau rule of law, trend baharu Peguam Negara dan SPRM ini jelas melanggari prinsip bahawasanya keadilan itu bukan sahaja mesti dilakukan tetapi juga mesti disaksi dilakukan.

“Tanpa ketelusan dan penguatkuasaan undang-undang yang adil, hasrat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki agar SPRM mencapai taraf antarabangsa sukar dicapai,” kata kenyataan itu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!