Kematian gadis bukan sebab vaksin Covid-19

Dr Othman Warijo
Dr Othman Warijo
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menafikan dakwaan seorang pelajar perempuan di daerah Baling meninggal dunia selepas menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pengarahnya, Dr Othman Warijo berkata, hasil siasatan mendapati maklumat yang ditularkan itu tidak benar dan mangsa merupakan seorang remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta bukan lagi pelajar sekolah.

"Kes ini merujuk kepada berita yang tular di media sosial baru-baru ini, berkaitan seorang pelajar perempuan di Baling yang meninggal dunia dan dikaitkan dengan suntikan vaksin.

"Siasatan mendapati mangsa telah menerima satu dos suntikan vaksin Covid-19 pada 5 September lalu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Tun Abdul Razak, Baling dan mengadu sakit perut pada 19 September sebelum diberikan rawatan di Hospital Baling," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dr Othman berkata, selepas 20 hari divaksin pada Sabtu (25 September), mangsa dibawa ke Hospital Baling kerana tidak sedarkan diri dan tahap kesihatannya merosot sebelum disahkan meninggal dunia.

Menurutnya, jenazah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.

"Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan 'ruptured thoracic aneurysm' dan tiada kaitan dengan suntikan vaksin Covid-19.

"Laporan penuh bedah siasat sedang disediakan dan JKN mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa atas kehilangan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dr Othman menasihati orang ramai agar tidak mempercayai serta menyebarkan berita tidak sahih selain mendapatkan maklumat yang betul berkaitan vaksin dan jangkitan pandemik ini.