Pemohonan bekas Exco Negeri Sembilan cabar pembatalan pelantikan didengar 16 Disember

Pelantikan 10 bekas Exco itu dibatalkan dan diisytiharkan tidak sah kerana melanggar sumpah taat setia kepada Tuanku Muhriz apabila mereka bersetuju untuk melucutkan baginda daripada jawatan yang Dipertuan besar Negeri Sembilan.
Pelantikan 10 bekas Exco itu dibatalkan dan diisytiharkan tidak sah kerana melanggar sumpah taat setia kepada Tuanku Muhriz apabila mereka bersetuju untuk melucutkan baginda daripada jawatan yang Dipertuan besar Negeri Sembilan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan menetapkan 16 Disember ini untuk mendengar permohonan 10 bekas anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan bagi mencabar keputusan pemerintah negeri itu yang membatalkan pelantikan mereka bulan lepas.

Peguam Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun mewakili bekas Exco berkenaan dan peguam Marisa Regina Mohd Aris Rizal yang mewakili Kerajaan Negeri Sembilan, mengesahkan tarikh pendengaran itu ketika dihubungi Bernama, selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Azaraorni Abd Rahman.

Sepuluh individu itu ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Datuk Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.

Mereka menfailkan notis usul pada 14 Oktober lepas, dengan menamakan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan kerajaan negeri sebagai responden.

Menurut notis usul itu, mereka meminta mahkamah menentukan tiga persoalan undang-undang berhubung kesan dan tafsiran peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang berbangkit daripada saman pemula difailkan mereka di Mahkamah Tinggi Seremban.

Pada 5 Oktober lepas, mereka menfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban bagi mencabar kesahihan warta pembatalan pelantikan mereka sebagai Exco Kerajaan Negeri Sembilan.

Antara persoalan yang dibangkitkan ialah sama ada Perkara 38(5) apabila dibaca bersama Perkara 38(2), 38(3), 38(4), 40(1), 40(1A) dan 40(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan membenarkan Yang Dipertuan Besar membatalkan pelantikan seseorang Exco tanpa nasihat Menteri Besar.

Sekiranya jawapan kepada persoalan itu adalah negatif, mereka memohon penentuan sama ada pembatalan pelantikan Exco seperti diwartakan pada 24 September lepas dibuat mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan sama ada pembatalan itu terbatal, tidak sah serta tidak mempunyai kuat kuasa.

Satu lagi persoalan ialah sama ada Perkara 38(5), apabila dibaca bersama Perkara 28(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, membawa maksud bahawa istilah "Raja Pemerintah” merujuk kepada Yang Dipertuan Besar yang mempunyai kuasa untuk membatalkan pelantikan seseorang Exco atas perkenan baginda sendiri tanpa nasihat Menteri Besar.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya jawapan kepada persoalan itu adalah negatif, sama ada pemecatan mereka bertentangan dengan perlembagaan negeri.

Pada 20 September lepas, Istana Negeri Sembilan mengumumkan bahawa Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah membatalkan pelantikan kesemua Exco berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Pembatalan pelantikan mereka diwartakan pada 24 September lepas, dengan pemecatan itu berkuat kuasa mulai 20 September.

Menurut warta itu, pelantikan mereka dibatalkan dan diisytiharkan tidak sah kerana melanggar sumpah taat setia kepada Tuanku Muhriz apabila mereka bersetuju untuk melucutkan baginda daripada jawatan yang Dipertuan besar Negeri Sembilan. - Bernama

 

 

 

 

 

TAG: Negeri Sembilan, Exco kerajaan negeri, pembatalan, Mahkamah Persekutuan, notis usul

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!