Melaka United tundukkan KDA 3-1 di Alor Setar

Sony (kiri) diasak penyerang KDA FC, Kpah Sherman pada aksi kedua Kumpulan C Piala Malaysia 2021 di Stadium Darul Aman pada Khamis. - Foto KDA FC
Sony (kiri) diasak penyerang KDA FC, Kpah Sherman pada aksi kedua Kumpulan C Piala Malaysia 2021 di Stadium Darul Aman pada Khamis. - Foto KDA FC
A
A
A

PERTEMBUNGAN dua pasukan pilihan Kumpulan C Piala Malaysia 2021 memihak kepada Melaka United (MU) FC apabila menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 3-1 pada aksi kedua di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Khamis.

Tuan rumah bermula garang apabila terlebih dahulu berada di hadapan pada minit ke-7 apabila Kpah Sherman berjaya menewaskan penjaga gol MU FC, Khairul Fahmi Che Mat selepas memanfaatkan hantaran lintang Tcheche Kipre

Bagaimanapun, satu serangan pantas yang dilakukan oleh pelawat menerusi penyerang. Sony Norde berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-23 hasil lorongan yang dilakukan Adriano Narcizo dari bahagian tengah padang.

Kesungguhan skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu yang tidak berputus membuahkan hasil apabila berjaya berada di hadapan 2-1 hasil jaringan Manuel Ott pada minit ke-38 selepas memanfaatkan hantaran Adriano Narcizo

Pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak kemudiannya membawa masuk Faizat Ghazli dan Fayadh Zulkifli Amin dan merehatkan Syazwan Zainon dan Rabih Ataya bagi memberikan nafas baharu pada bahagian sayap kiri dan kanan pasukannya sebaik babak kedua bermula.

Skuad Kancil terus memberikan tekanan kepada hijau kuning apabila Manuel menjaringkan gol kedua peribadinya dari jarak jauh pada perlawanan ini untuk meletakkan pasukannya di hadapan 3-1 pada minit ke-52 selepas barisan pertahanan tuan rumah tidak memberikan tekanan kepada pemain kelahiran Jerman itu.

Tuan rumah kembali meningkatkan tempo serangan dan hampir merapatkan jurang jaringan namun tandukan Kipre berjaya ditangkap kemas Khairul Fahmi pada minit ke-58

Pada minit ke- 67, Sony sekali lagi mencemaskan pasukan tuan rumah namun percubaannya berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol KDA FC, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Artikel Berkaitan:

Tiga pertukaran dilakukan oleh KDA FC apabila membawa masuk Aiman Afif Md Afizul, Asnan Ahmad dan Fikri Zulkifli dan membawa keluar Fazrul Danel Mohd Nizam, Baddrol Bakhtiar dan Kipre pada minit ke-83 dalam usaha untuk merapatkan jurang.

Biarpun asakan bertubi-tubi dilakukan oleh KDA FC ke kubu MU FC, namun keputusan 3-1 kekal hingga ke wisel penamat.

MU FC kini berada di kedudukan pertama dengan enam mata manakala KDA FC di tangga kedua dengan tiga mata selepas dua perlawanan Kumpulan C Piala Malaysia 2021.