Pindaan Akta Majlis Parlimen sedang diteliti: Rais

TAN SRI DR RAIS YATIM
TAN SRI DR RAIS YATIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pindaan ke atas Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 sedang diteliti bagi membolehkan Dewan tidak membenarkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang sedang berdepan pendakwaan mahkamah mengambil bahagian dalam persidangan kedua-dua Dewan sehingga kes selesai.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, perkara itu antara yang dicapai dalam mesyuarat khas Transformasi Parlimen hari ini bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang dipengerusikan beliau (Rais) mewakili Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

“Selain itu kedua-dua Dewan juga sedang meneliti untuk menggubal satu kod etika khas bagi Ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Pentadbir Parlimen Nor Yahati Awang serta kedua-dua Setiausaha Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

“Susulan mesyuarat itu, satu draf rang undang-undang dan Memorandum Jemaah Menteri mengenai transformasi Parlimen telah diserahkan kepada Menteri untuk dibentang dan diluluskan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan penting yang turut dicapai ialah apabila Menteri turut menyokong penuh langkah meminda dan memperkasa Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 serta mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 agar konsep pengasingan kuasa antara legislatif dan eksekutif dapat dijelmakan sebagaimana termaktub dalam Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya langkah itu akan menyaksikan Parlimen tidak lagi tertakluk di bawah kuasa eksekutif serta membolehkan beberapa Jawatankuasa Pilihan Khas baharu yang mempunyai kuasa perundangan diwujudkan dalam masa terdekat.

Rais berkata, segala transformasi yang sedang rancak diusahakan ini adalah selari dengan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan pada 13 September lepas, yang antara lain memberi fokus kepada transformasi Parlimen itu sendiri.

Artikel Berkaitan:

Satu interaksi dan taklimat khas mengenai perincian transformasi Parlimen ini akan dibuat kepada semua Ahli Dewan Rakyat dan senator dalam masa terdekat bagi memastikan usaha ini dapat dilunaskan sebaik mungkin, katanya.- Bernama