18 individu didakwa di bawah Akta Pemberi Wang 1951

Sebahagian tertuduh yang didakwa di bawah Akta Pemberi Wang 1951 dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuantan pada Khamis.
Sebahagian tertuduh yang didakwa di bawah Akta Pemberi Wang 1951 dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuantan pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 14 individu dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuantan pada Khamis atas tuduhan membantu aktiviti pemberi pinjaman wang tidak berlesen.

Tertuduh, Chew Choon How, 37, Nick Tan Yang Peng, 22, William Teng Wei Siang, 22, Chua Kah Kheng, 29, Alfie Quek Choon Ee, 27, Yap Ching Hau, 32, Ng Shi Yun, 32, Wong Chun Wei, 33, Kenson Lim Kian Kai, 29, Yew Ting Xian, 24, Kang Yong Jun, 20, Khoo Tian Le, 21, Chua Kah Shin, 25 dan Yap Qing Zhen, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Majistret Fatinah Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa secara bersama-sama didapati telah membantu aktiviti pemberi pinjaman wang yang tidak berlesen dengan memiliki kad pinjaman wang tanpa kelulusan di kawasan awam dan memiliki kad mesin juruwang automatik (ATM) pihak ketiga.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kesemua tertuduh di Guest House, Lorong Galing 57/3, Perumahan Galing, di sini, jam 7 pagi, pada 23 September lalu.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun dan dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika didapati bersalah.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Abdul Wahab menawarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun peguam mewakili kesemua tertuduh, Datuk Zaharman Zainal Abidin dan Badrulzaman Abu Bakar meminta wang jaminan dikurangkan atas alasan menanggung keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 2 November depan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di mahkamah berasingan, empat individu mengaku tidak bersalah atas tuduhan membantu menawarkan pinjaman wang mengelirukan.

Pengakuan tertuduh Lee Han Chai, 44, Loo Chun Kit, 27, Lee Kin Shen, 25 dan Tan Hean Jun, 35, direkodkan selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari.

Keempat-empat tertuduh didakwa dengan niat bersama telah membantu menawarkan pinjaman wang yang mengelirukan dan tidak jujur dengan bermaksud mendorong atau cuba mendorong mana-mana individu untuk meminjam wang atau bersetuju dengan terma-terma di mana wang itu akan diberikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kesemua tertuduh di No 96, Lorong Semambu 9, Taman Sega, di sini, jam 7.15 pagi pada 23 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang dibaca di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika bersabit.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM4,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan kes disebut semula 27 Oktober depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ain Adilah Muhammad Faizal manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Datuk Zaharman Zainal Abidin.