X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 23 Januari 2022

Terowong dasar laut: Pulau Pinang patut dengar suara NGO, pembangkang

Muhamad Farid
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang sepatutnya mendengar suara badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil rakyat pembangkang sejak dahulu lagi berhubung pembinaan terowong dasar laut.

Pengerusi Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir), Datuk Dr Muhamad Farid Saad berkata, sejak dahulu lagi beberapa NGO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang membantah pembinaan terowong tersebut kerana kos yang terlalu mahal.

Menurutnya, kerajaan negeri dilihat lebih pandai untuk merancang, berbelanja dan membatalkan projek berbanding membina projek yang tidak menelan kos yang tinggi.

"Minggu lalu, media melaporkan kenyataan kerajaan negeri yang mungkin akan membina jambatan ketiga bagi menggantikan terowong idaman yang bakal menghubungkan tanah besar dan bahagian pulau.

"Ini menunjukkan Ketua Menteri sekarang lebih bijak daripada (Ketua Menteri) yang terdahulu. Ini kerana, kos pembinaan jambatan adalah lebih murah dari pembinaan terowong.

"Sejak dari awal cadangan pembinaan terowong itu, pihak NGO dan wakil rakyat pembangkang telah membantah dengan mengambil kira faktor kos, alam sekitar dan beberapa faktor berkaitan. Sepatutnya ketika itu kerajaan negeri mendengar suara-suara ini," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Isnin lalu, kerajaan Pulau Pinang tidak menolak kemungkinan akan membina jambatan sebagai 'link' ketiga hubungan antara bahagian pulau ke tanah besar bagi menggantikan terowong dasar laut.

Bagaimanapun, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, setakat ini kajian kebolehlaksanaan yang dilakukan oleh kontraktor Consortium Zenith Construction (CZC) adalah untuk projek terowong bawah dasar laut sahaja dan bukannya untuk jambatan.

Kata Kon Yeow, kerajaan negeri memerlukan pemegang saham terbaru dalam Consortium Zenith Construction iaitu ECK Develeopment Sdn Bhd untuk menyedarkan perkara ini.

Muhamad Farid berkata, pihaknya berpandangan akan berlaku pembaziran wang sekiranya projek terowong tersebut tidak dilaksanakan berikutan kos kajian kebolehlaksanaan terowong tersebut bernilai RM20 juta.

"Jika benar kajian trafik memerlukan kepada penghubung ketiga di antara bahagian pulau dan tanah besar, sudah pasti pembinaan jambatan adalah lebih murah dan lebih praktikal. Kini kerajaan negeri terpaksa berbelanja lagi untuk membuat kajian kebolehlaksaan untuk membina jambatan.

"Dianggarkan kos untuk kajian bagi jambatan itu kira-kira RM10 juta. Bagaimanapun, untuk menjimatkan kos, kerajaan negeri boleh meminta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat kajian kerana JKR juga mempunyai kepakaran dalam pembinaan jambatan," katanya.

Beliau berkata lagi, kerajaan negeri perlu memberi tumpuan kepada penyelesaian penyuraian trafik di bahagian pulau terlebih dahulu.

"Ia adalah keperluan mendesak yang tidak boleh dilengahkan lagi sehingga 10 tahun akan datang untuk diselesaikan.

"Jika benar kajian trafik memerlukan kepada penghubung ketiga di antara bahagian pulau dan tanah besar, sudah pasti pembinaan jambatan adalah lebih murah dan praktikal," katanya.

Tambah beliau, terdapat dua buah pelabuhan yang agak sibuk beroperasi di bahagian pulau dan tanah besar dan jambatan itu sudah pasti akan menjadi terlalu tinggi kerana perlu memberi laluan kepada kapal-kapal dagang.

"Sudah pasti bahagian hujung jambatan ini akan jauh tersasar ke kawasan yang lebih luas, walaupun dari segi teknikal, jambatan boleh dibina namun adakah ia berbaloi dari segi kos dan manfaat yang diperolehi daripadanya," katanya.

Dalam pada itu, katanya, sekarang ini pihak kerajaan negeri perlu dengan minda terbuka meneliti semula semua cadangan yang dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang terdahulu, Lim Guan Eng.

"Jika kini rakyat diminta untuk hidup dalam norma yang baru, maka kerajaan negeri juga perlu bertindak dengan norma-norma yang baharu.

"Kalau dulu Ketua Menteri bermegah dengan pengumpulan hasil negeri yang banyak yang terhasil daripada penjualan tanah, kini kita pasti hasilnya telah menyusut dan tabungan negeri juga semakin mengecil," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!