Menyamar jadi penumpang sebelum samun pemandu

Gambar suspek. (Gambar Kecil) Gambar fotofit suspek.
Gambar suspek. (Gambar Kecil) Gambar fotofit suspek.
A
A
A

REMBAU - Polis memburu seorang lelaki yang melakukan samun terhadap pemandu teksi dan e-hailing di daerah ini dengan berpura-pura sebagai pelanggan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superitendan Hazri Mohamad berkata, polis telah menerima dua laporan berkenaan kejadian itu pada bulan ini.

"Kes pertama berlaku pada 2 September lalu melibatkan pemandu wanita e-hailing berusia 48 tahun yang mana telah mengakibatkan mangsa kerugian RM900.

"Kes kedua pula pada 20 September lalu melibatkan pemandu teksi lelaki berusia 75 tahun yang mengakibatkan mangsa kerugian RM600," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, modus operandi suspek ialah dengan menyamar sebagai penumpang yang naik dari negeri Melaka.

Ujarnya, suspek kemudian akan mengarahkan pemandu ke kawasan sunyi di daerah Rembau sebelum samun.

"Mangsa bagaimanapun tidak dicederakan dan suspek juga tidak membawa sebarang senjata.

"Polis kini sedang mengesan suspek yang disyaki berusia 39 tahun dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 394 kanun serupa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Risikan/ Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau, Inspektor Mohd Harizan Misron di talian 012-7425209 atau Bilik Gerakan IPD Rembau di 06-6851999.