Pintu stadium dibuka minggu ketiga Piala Malaysia

Ab Ghani
Ab Ghani
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) akan membuka pintu stadium kepada penyokong bermula perlawanan minggu ketiga Piala Malaysia pada 29 Oktober ini selepas kerajaan mengumumkan kebenaran kehadiran penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri fasa dua, fasa tiga dan fasa empat.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, badan pengelola liga itu dan semua pasukan yang bertanding dalam Piala Malaysia perlu membuat persiapan terlebih dahulu sebelum menerima kehadiran ‘pemain ke-12’ ke stadium.

"MFL membuat keputusan untuk membenarkan penyokong hadir ke stadium bermula perlawanan minggu ketiga Piala Malaysia iaitu pada 29 Oktober kerana saingan itu akan berehat seketika selepas perlawanan minggu kedua esok (1 Oktober 2021) bagi memberi laluan kepada aksi antarabangsa skuad kebangsaan.

"Pihak MFL juga masih menunggu peratusan kemasukan penyokong ke stadium di negeri-negeri mengikut fasa dua, tiga dan empat yang akan dimaklumkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) sukan yang ditetapkan.

"MFL juga akan membuat keputusan sama ada akan membenarkan penyokong masuk ke stadium jika ada pasukan merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan ketika tempoh Piala Malaysia berehat apabila kami mendapat SOP terperinci daripada KBS nanti.

"Justeru, tempoh yang ada ini akan digunakan MFL untuk memperincikan SOP kemasukan penyokong ke stadium bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) selain pasukan-pasukan diberikan masa untuk membuat persiapan di venue pertandingan sebelum menerima kehadiran penyokong. Ini penting bukan sahaja untuk melancarkan pengelolaan perlawanan malah bagi menjamin keselamatan semua pihak yang hadir ke stadium.

"MFL amat menitikberatkan soal kesihatan dan keselamatan kerana kita mahu kebenaran daripada pihak kerajaan ini dibuka untuk tempoh lebih lama dan saya menyeru kepada semua khusus kepada penyokong agar sentiasa berdisiplin mematuhi SOP yang ditetapkan dalam memastikan tiada kes Covid-19 berlaku sepanjang mereka turun ke stadium,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, kerajaan mengumumkan kebenaran untuk penyokong hadir ke stadium dengan syarat penonton atau penyokong telah menerima vaksinasi lengkap, memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan dan minum sepanjang berada di stadium.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun kanak-kanak sehingga remaja berusia bawah 18 tahun ke bawah masih tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan di tempat acara sukan berlangsung.

Dalam pada itu, Ab Ghani turut berterima kasih kepada pihak kerajaan khususnya MKN, KKM dan KBS atas keputusan itu yang dilihat bukan sahaja memberikan perkhabaran gembira buat penyokong bola sepak tempatan malah bakal menyemarakkan kembali industri bola sepak negara.

"Selepas penyokong tidak dibenarkan masuk sejak 9 Mei akibat lonjakan kes Covid-19 di negara ini, inilah perkhabaran gembira yang ditunggu-tunggu oleh kita semua khususnya penyokong-penyokong yang amat merindukan aksi bola sepak di stadium. Apatah lagi dalam suasana ketika kita semua meraikan ulang tahun ke-100 Piala Malaysia yang kini sedang berlangsung.

"Sudah pasti setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan pihak MKN kerana membuka semula sekatan penyokong untuk kembali ke stadium serta acara-acara sukan yang lain selepas sekian lama venue kita cukup sepi tanpa kehadiran penyokong yang turut memberi impak kepada kelangsungan ekonomi dalam sektor sukan tanah air," katanya.