Orang asli sedia hadapi fasa endemik

Penduduk Kampung Orang Asli Punan, Langam Meripin (kiri) bersama Budi Chentek menunjukkan isyarat bagus dan kad vaksinasi mereka pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Daerah Mersing di Sekolah Kebangsaan Punan, baru-baru ini. - Foto Bernama
Penduduk Kampung Orang Asli Punan, Langam Meripin (kiri) bersama Budi Chentek menunjukkan isyarat bagus dan kad vaksinasi mereka pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Daerah Mersing di Sekolah Kebangsaan Punan, baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

MERSING - Masyarakat orang asli di daerah ini telah bersedia untuk menghadapi fasa endemik tetapi mahu pemberian maklumat secara berkala diteruskan oleh kerajaan termasuk menerusi platform dalam talian.

Enggan ketinggalan dalam menerima maklumat, Tok Batin Kampung Punan, Acai Kadir berkata, kerajaan perlu sentiasa memastikan orang asli diberi maklumat apatah lagi dalam menghadapi fasa endemik ini.

"Masyarakat kita (orang asli) sebenarnya terima baik (mengenai pemberian vaksin) cuma penerangan daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kebajikan Orang Asli (Jakoa) penting. Kalau penyampaian tu tak betul, masyarakat hari ini tak akan terima, mungkin dah lari.

"Dunia sekarang dah canggih, dah ada internet dan sebagainya. Itu sebab pihak-pihak luar membuat andaian kononnya bila cucuk vaksin, ada yang meninggal, populasi jatuh dan sebagainya. ''Harapan saya agar pihak Jakoa, KKM dari semasa ke semasa bagi maklumat terperinci supaya masyarakat kita tak takut dan tidak ketinggalan," kata beliau kepada Bernama ketika ditemui pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Daerah Mersing di Sekolah Kebangsaan Punan di sini, baru-baru ini.

Katanya, transformasi pemberian maklumat oleh agensi-agensi yang terlibat perlulah seiring dengan perkembangan semasa memandangkan masyarakat Orang Asli walaupun duduk di kawasan pedalaman, majoriti mereka sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam negara.

"Kalau dapat perbanyakkan perbincangan menerusi dalam talian selain daripada luar talian. Sejak pandemik ini, mesyuarat atau perbincangan pun sering terganggu, mungkin boleh dibuat menerusi Google Meet memandangkan kes Covid-19 dalam negara masih tinggi," kata beliau.

Ini menurutnya bagi mengelakkan kekeliruan maklumat atau gangguan daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, kata Acai sambil menambah sebahagian maklumat kini disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp serta program outreach.

Menyentuh mengenai vaksinasi masyarakat orang asli di daerah berkenaan, pegawai Jakoa Daerah Mersing, Nor Faizzi Sulaiman berkata, setakat 20 September, seramai 714 orang telah selesai satu dos manakala 295 orang telah pun lengkap kedua-dua dos.

Artikel Berkaitan:

“Mereka yang layak divaksin adalah seramai 1,043 orang dan jumlah mereka yang telah divaksin ketika ini adalah tinggi,” kata beliau ketika ditemui di kampung berkenaan.

Proses vaksinasi melibatkan komuniti itu ujar beliau akan dijalankan secara berterusan tanpa henti dalam usaha kerajaan mencapai sasaran imuniti menjelang fasa endemik pada bulan hadapan.

“Penerimaan orang kampung (mengenai vaksin) sejak akhir-akhir ini semakin baik. Peratus mereka yang setuju vaksin pun semakin meningkat. Sebelum ini, mereka menolak vaksin sebab maklumat tidak sampai.

“Jadi pihak Jakoa dengan bantuan sukarelawan, pergi dari rumah ke rumah dan kami berjaya menambah peratusan setuju vaksin sekali gus menunjukkan keberkesanan program outreach,” kata beliau.

Pada program dua hari itu, seramai 336 Orang Asli suku kaum Jakun di Kampung Orang Asli Tewowoh, Kampung Punan dan Kampung Peta telah menerima suntikan vaksin menerusi Pogram Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Seramai 95 petugas terdiri daripada kakitangan kesihatan daerah Mersing, Pejabat Daerah, Jabatan Kemajuan Orang Asli JAKOA Mersing, Pejabat Tanah dan Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), terlibat dalam program tersebut. -Bernama