X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Empat lelaki ditahan, dadah RM7,600 dirampas

Antara dadah dan barangan yang dirampas polis dalam dua serbuan berasingan di Jerantut pada Selasa. Foto: Ihsan PDRM
A
A

JERANTUT - Polis menahan empat lelaki dengan rampasan dadah keseluruhan bernilai RM7,900 dalam dua serbuan berasingan di daerah ini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, dalam serbuan pertama kira-kira jam 1.40 pagi, dua suspek berusia 29 dan 40 tahun ditahan di dalam sebuah kereta jenis Proton Satria di tepi jalan Perumahan Mat Kilau 2 di sini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek bekerja sebagai buruh diarahkan keluar dari kereta oleh anggota polis yang menahannya.

"Pemeriksaan terhadap kenderaan itu menjumpai satu beg hitam berzip yang diletakkan di atas pemijak kaki bahagian penumpang hadapan.

"Selepas diperiksa, anggota menemui dua peket plastik lut sinar berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki syabu seberat 80.79 gram, dua peket plastik berisi serbuk dan ketulan putih disyaki dadah jenis heroin (106 gram) serta tiga keratan foil aluminium setiap satu berisi 10 biji pil disyaki eramin 5 seberat 6.54 gram," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, suspek berusia 29 tahun memiliki dua kes lampau, manakala suspek berusia 40 tahun mempunyai empat kes lampau, kesemuanya berkaitan dadah.

Katanya, ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif methamphetamine.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama," katanya.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan kira-kira jam 11 pagi, dua suspek berusia 38 tahun ditahan dalam sekatan jalan raya di Pekan Damak di sini.

Menurutnya, kedua-duanya ditahan di dalam sebuah kereta jenis Proton Wira.

"Hasil pemeriksaan menemui satu beg kecil warna biru yang disembunyikan di bahagian bumbung kereta tersebut.

"Di dalam beg itu terdapat satu peket plastik lut sinar besar berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah jenis heroin seberat 37.19 gram, dua peket plastik lut sinar berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki syabu seberat 4.74 gram.

"Ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif methamphetamine.

"Suspek pertama mempunyai tiga rekod lampau, manakala suspek kedua memiliki dua rekod lampau, kesemuanya berkaitan dadah," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

Mazlan berkata, hasil dua serbuan itu, polis berjaya merampas dadah jenis syabu bernilai RM4,000, selain heroin (RM3,600) dan eramin 5 (RM300).

"Kesemua suspek daripada dua serbuan itu ditahan reman selama tujuh hari bermula Selasa hingga 4 Oktober ini," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!