Tipu bida: MYCC kenakan penalti RM1.94j terhadap 8 syarikat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan penalti berjumlah RM1.94 juta kepada lapan syarikat yang didapati terbabit dengan aktiviti tipuan bida melalui tender yang ditawarkan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail berkata siasatan terhadap syarikat berkenaan mendapati mereka bersepakat berkongsi tender, saling menyediakan dokumen serta memanipulasi harga dalam tender tersebut dan pemenang tender juga telah berkongsi keuntungan dengan pembida yang kalah.

“Terdapat penipuan bida terhadap tiga sebut harga dan satu tender yang ditawarkan oleh Aswara dan dalam setiap bidaan itu ada beberapa pakatan sulit atau kartel yang dibuat syarikat-syarikat tersebut.

“Tindakan mereka ini merugikan kerajaan dan tindakan tegas akan diambil... Contoh yang boleh dilihat ialah kerajaan sepatutnya membelanjakan RM100 juta untuk satu kontrak tetapi disebabkan tipuan bida itu kerajaan terpaksa membayar RM150 juta membabitkan kerugian sebanyak RM50 juta,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata tipuan bida merupakan satu bentuk pelanggaran yang serius menurut Akta Persaingan 2010 yang berlaku apabila dua atau lebih pembida dalam sesuatu tender bersepakat menganggu proses persaingan yang adil dan saksama.

Iskandar berkata melalui penalti yang dikenakan itu, MyCC boleh membantu kerajaan menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan di samping memastikan proses perolehan sentiasa telus di negara ini.

“Saya ingin menyeru kepada organisasi lain mengikuti langkah sama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti tipuan bida yang berlaku dalam mana-mana tender,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: