X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 25 Oktober 2021

Cabutan judi: Bukan jalan penyelesaian atasi kemelut ekonomi

Abdul Hadi
A
A

ALOR SETAR – Pertambahan cabutan khas judi yang ditingkatkan daripada lapan kali sehingga 22 kali setahun bermula tahun ini bukan jalan penyelesaian untuk mengatasi kemelut ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kedah, Abdul Hadi Omar berkata, selain disifatkan sebagai sumber haram secara qat’ie (secara putus) dalam syarak, ia kelak menyumbang kepada lebih banyak masalah sosial kalangan rakyat.

Menurutnya, sehubungan itu kerajaan diminta mencari jalan penyelesaian lain yang lebih konklusif tanpa perlu menambah kekerapan cabutan judi.

“Pemuda Pas Kedah bantah pelaksanaan cabutan khas judi yang ditingkatkan kepada 22 kali setahun. Bantahan sama pernah kami suarakan pada 2 Januari lalu, pendirian kami tetap tidak berubah dan dalam isu judi, kami tidak akan kompromi,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Abdul Hadi turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang membangkitkan isu berkenaan di Dewan Rakyat dan berharap perjuangan mempertahankan syariah bukan bermusim atau sekadar memberi bola tanggung.

“Ahli politik Muslim perlu perjuangkan bersama hingga syariah dijulang dan berada di tempat sewajarnya dalam politik, kepimpinan dan sosial negara kita tanpa mengira parti atau warna bendera.

"Sekali lagi kami menuntut kerajaan supaya lebih sensitif dan tidak berkompromi dalam isu judi yang terbukti membawa lebih banyak kerosakan dan masalah sosial,” katanya.

Abdul Hadi turut mengingatkan agar jangan kita mengundang bala dengan memberi kelonggaran kepada isu judi.

“Kita harus ingat wabak adalah ujian dan pengajaran daripada ALLAH SWT. Kita perlu tegas dalam menangani isu ini,” katanya.

Menurutnya, Pemuda Pas akan terus komited dan istiqamah dalam hal berkaitan syariah walaupun ia menyebabkan parti itu dibenci pihak liberal, sekular mahupun politikus aliran pragmatisme apabila dasar dan komitmen Pas terhadap Islam gagal digugat.

“Mungkin ada anggap Pas tidak vokal dalam isu syariah kerana berada dalam barisan pentadbiran kerajaan. Kami mahu tegaskan, anggapan itu meleset dan tidak mungkin berlaku.

"Dalam isu judi, tidak sukar untuk rakyat mengimbas kembali apa diperjuangkan Pas dan Dewan Pemuda Pas sejak berzaman, tiada satu pun pendirian kami yang menyebelahi judi dan hal berkaitannya,” katanya.

Pada 28 Disember, sebuah portal melaporkan dakwaan Pengarah Strategik DAP, Lew Chin Tong menyatakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah meningkatkan kekerapan cabutan khas ramalan nombor empat digit daripada lapan kali pada tahun 2020 kepada 22 kali pada 2021.

Angka itu dilihat jauh meningkat berbanding era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) iaitu 11 kali pada 2019.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar mengesahkan kadar kekerapan cabutan khas nombor ramalan ditingkatkan kepada 22 kali setahun dan kebenaran itu diberikan kepada semua syarikat judi di negara ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!