X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Siasatan dapati ADUN Tronoh rogol pembantu rumah: Pegawai penyiasat

Paul Yong Choo Kiong. - Foto fail Bernama
A
A

IPOH - Pegawai penyiasat dalam kes Paul Yong Choo Kiong memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa siasatan mendapati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu telah merogol pembantu rumahnya.

Asistan Superintenden Yap Siew Cheng yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh berkata, beliau telah menjalankan siasatan dengan lengkap dari pelbagai sudut iaitu di tempat kejadian, rakaman percakapan saksi dan semakan dengan pihak telekomunikasi.

“Hasil siasatan mendapati segala maklumat yang dimaklumkan oleh mangsa, saya telah buat siasatan dan semakan dengan pihak telco dan Kedutaan Besar Republik Indonesia mendapati masa serta tarikh yang dimaklumkan adalah sama,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Paul Yong sebelum ini, saksi pendakwaan ke-23 itu tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Paul Yong tidak merogol mangsa dan cerita bahawa wanita itu dirogol oleh majikannya direka kerana dia ingin pulang ke Indonesia serta tidak mahu bekerja sebagai pembantu rumah.

Bagaimanapun, Siew Cheng bersetuju dengan cadangan Rajpal bahawa terdapat dua kesan asid deoksiribonukleik (DNA) campuran tidak diketahui pada beberapa eksibit yang bukan daripada tertuduh dan keluarganya berdasarkan perbandingan.

Katanya, beliau tidak menjalankan siasatan bagi mengetahui pemilik DNA itu.

Siew Cheng juga berkata, terdapat catatan ‘tunggu dan lihat’ di dalam diari milik mangsa pada 6 Julai 2019 iaitu sehari sebelum kejadian rogol didakwa berlaku.

Saksi itu berkata, beliau telah merujuk laporan pemeriksaan perubatan mangsa di negara asalnya bertarikh 8 April 2019 sebelum mula bekerja di rumah tertuduh pada Mei tahun sama dan bersetuju dengan cadangan peguam bahawa tiada laporan perubatan spesifik atau pakar untuk mengesahkan keadaan mental wanita tersebut ketika kejadian.

Paul Yong, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya seorang warga Indonesia di kediaman beliau di Meru Desa Park di sini antara jam 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen namun pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Paul Yong didakwa di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!