12 laporan menyamar rakan, majikan dan ahli keluarga

Aidi Sham Mohamed
Aidi Sham Mohamed
A
A
A

PORT DICKSON - Sebanyak 12 laporan berkaitan kes penipuan menyamar sebagai rakan, majikan dan ahli keluarga membabitkan kerugian RM58,700 dilaporkan berlaku bermula 1 hingga 3 September lalu di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kesemua laporan itu membabitkan modus operandi yang hampir sama bagi mengelirukan mangsa.

Beliau berkata, dalam kes ini suspek akan menggunakan 'profile picture' Whatsapp yang memaparkan gambar kenalan mangsa dan jika suspek berurusan melalui panggilan telefon, suara suspek juga didapati mirip dengan suara kenalan mereka itu.

"Suspek akan memaklumkan kepada mangsa bahawa telefon mereka rosak, hilang atau terlibat dalam kejadian ragut dan perlu menggunakan nombor telefon yang baharu.

"Suspek kemudiannya akan meminta tolong kepada mangsa untuk memberi pinjam wang dan dijanjikan akan dikembalikan semula dalam masa terdekat.

"Antara alasan yang digunakan suspek adalah untuk membuat bayaran kepada pembekal dan juga membayar hutang ah long bagi mendapatkan simpati daripada mangsa. Suspek kemudiannya diminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari diperdaya setelah gagal menghubungi suspek selepas transaksi wang dibuat.

"Pihak polis mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu yang membuat panggilan, atau menghantar WhatsApp dan mengaku sebagai kenalan untuk meminjam wang.

Artikel Berkaitan:

"Semak dahulu kesahihan identiti individu tersebut sebelum membuat sebarang transaksi bagi menggelakkan diri daripada terperdaya," katanya.