Kerajaan perlu sedia geran tahunan, bantu banduan peroleh rawatan

Ramli Abd Samad
Ramli Abd Samad
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) menggesa kerajaan menyediakan geran tahunan kepada badan tersebut bagi membolehkan bekas banduan yang terlibat dengan kes kesalahan dadah mendapatkan rawatan pemulihan sebaik mungkin.

Presiden Pengasih, Ramli Abd Samad berkata, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak berasaskan keuntungan, pihaknya memerlukan dana tambahan untuk menjalankan aktiviti pemulihan dan rawatan lanjutan kepada banduan dan pelatih.

“Selain itu, kita turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu perkhidmatan alternatif ataupun Alternative Service Delivery (ASD) dalam rawatan pemulihan khususnya dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Ini kerana kita dapati bahawa banduan ataupun pelatih memerlukan penjagaan lanjutan. Apabila mereka keluar daripada pusat pemulihan, mereka tentunya memerlukan pertolongan dan bantuan.

“Mungkin ada dalam kalangan mereka susah untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat, ditambah pula dengan trauma yang mereka lalui semasa terlibat dengan penagihan dadah. Jadi, bila mereka gagal menangani cabaran ini, maka mereka kembali menagih semula,” katanya dalam sidang akhbar Simposium Kepulihan secara dalam talian pada Isnin.

Simposium ini merupakan satu inisiatif untuk memberikan persediaan dari segi aspek meningkatkan kesedaran, ilmu dan motivasi bagi menghadapi kehidupan baharu kepada banduan atau pelatih apabila dibebaskan.

Program ini juga turut mendapat kerjasama daripada Biro Jagaan Lanjutan Pemadam Kebangsaan, Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia (MASAC), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Penjara Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Dalam pada itu, Ramli berkata, isu penagihan berulang sangat tinggi di negara kerana terdapat statistik yang menyatakan hampir 80 peratus mereka yang menjalani program tahanan sama ada di penjara atau di pusat AADK kembali menagih dalam masa dua tahun pertama.

Artikel Berkaitan:

“Ini kerana terdapat kekurangan atau kelompongan dalam perkhidmatan rawatan. Seperti yang dinyatakan Timbalan Ketua Pengarah Sektor Keselamatan dan Koreksional Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak, terdapat 65,000 tahanan dan 43,000 daripadanya adalah kes-kes melibatkan dadah.

“Ini termasuklah mereka yang memiliki, menagih atau mungkin juga menjual secara kecil-kecilan,” ujarnya.

Tambah beliau, penagihan merupakan satu penyakit kronik dan bersifaT berulang kerana ia boleh membawa kepada pengaruh psikososial.

“Jadi, jika mereka ini tidak mendapatkan rawatan yang sewajarnya, maka peluang untuk mereka menagih semula adalah sangat tinggi,” katanya.