X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Bil air percuma untuk pengguna terjejas

Pengecualian pembayaran bil itu ditawarkan kepada 28,700 akaun pengguna domestik yang terjejas dalam krisis gangguan bekalan air baru-baru ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) pada Isnin mengumumkan pengecualian pembayaran bil kepada 28,700 akaun pengguna domestik yang terjejas dalam krisis gangguan bekalan air baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu Dr Mamad Puteh berkata, pengecualian itu untuk dua bulan iaitu bil Oktober dan November.

“Pengecualian bayaran bil ini melibatkan anggaran kos sebanyak RM1.2 juta yang melibatkan penggunaan air sebanyak dua juta meter padu.

“Pengguna disaran untuk menggunakan air dengan cermat dan tidak membazir, bagi menghargai niat baik kerajaan negeri untuk meringankan beban rakyat sepanjang tempoh krisis air yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Krisis gangguan bekalan air di dua daerah iaitu Kuala Nerus dan sebahagian Kuala Terengganu itu berlaku pertama kali pada 2 Ogos lepas, berpunca daripada paip bersaiz 1.2 meter pecah di dasar Sungai Terengganu.

Bekalan air bersih pulih secara berperingkat pada 13 Ogos namun gangguan sama berulang apabila paip yang dibaiki patah semula di lokasi berlainan 10 hari kemudian (23 Ogos).

Bagaimanapun, masalah itu selesai pada 9 September apabila bekalan air bersih disalurkan kepada pengguna menerusi pengaktifan sebahagian Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Berapit dengan keupayaan 60 juta liter sehari. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!