X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Kerajaan lulus projek lonjakkan pertumbuhan sektor, industri strategik

Antara program dan projek utama untuk dilaksanakan dalam RMK12 ialah dana pinjaman pelaburan penyelidikan dan pembangunan bidang aeroangkasa, elektrik dan elektronik. Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan bersetuju meluluskan beberapa program dan projek utama untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi melonjakkan pertumbuhan sektor dan industri strategik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antaranya ialah dana pinjaman pelaburan penyelidikan dan pembangunan bidang aeroangkasa, elektrik dan elektronik.

Selain itu, menurutnya, penubuhan Centre of Excellence for Future Industry; dana harta intelek; dan skim pembiayaan mudah bagi pendigitalan dan penerima gunaan teknologi untuk menyokong syarikat tempatan beralih kepada teknologi termaju.

“Dengan terlaksananya beberapa perancangan ini, saya percaya kita akan dapat mencapai sasaran pertumbuhan purata sektor perkhidmatan sebanyak 5.2 peratus, pembuatan 5.7 peratus, pertanian 3.8 peratus, perlombongan dan pengkuarian 2.6 peratus serta pembinaan 4.2 peratus dalam tempoh RMK12.

“Sektor pelancongan yang paling terjejas berikutan pandemik dijangka pulih dengan sasaran pertumbuhan 3.8 peratus.

"Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pula dijangka dapat menyumbang sebanyak 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 25 peratus kepada jumlah eksport pada tahun 2025,” katanya ketika pembentangan RMK12 pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, PMKS merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara.

Jelas beliau, pada akhir tahun 2020, bilangan PMKS dianggarkan hampir 1.2 juta, bersamaan dengan 97.2 peratus daripada jumlah keseluruhan perusahaan.

“Namun, sebahagian besar PMKS masih kurang berdaya saing dan perlu diperkasa semula setelah terjejas akibat pandemik. Oleh itu, kerajaan komited untuk terus membantu dan menyokong pemulihan PMKS.

“Pada masa yang sama, PMKS digalakkan untuk meneruskan agenda transformasi digital bagi memacu pertumbuhan dalam norma baharu pasca pandemik,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!