Suspek pencemaran di Kempas akan didakwa dalam masa terdekat

Tuan Ibrahim (kanan) melancarkan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021 di Sungai Rembau.
Tuan Ibrahim (kanan) melancarkan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021 di Sungai Rembau.
A
A
A

REMBAU - Sembilan suspek yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam insiden pembuangan sisa kimia ke dalam tali air dan sungai di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, Johor akan didakwa dalam masa terdekat.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebaik sahaja kertas siasatan dan dokumen pendakwaan selesai, kesemua suspek akan dibawa ke muka pengadilan.

"Kita sudah kenal pasti punca pencemaran dan sekarang ini masih dalam siasatan bagi melengkapkan pendakwaan. Jadi kita masih menunggu dan kumpulkan data-data siasatan, bahan bukti sudah ada, mereka yang disyaki juga telah ditahan dan sekarang masih menunggu proses pembuktian daripada makmal.

"Jika cukup dan siasatan lengkap, kita akan dakwa mereka dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021 di Sungai Rembau pada Ahad.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap penjenayah alam sekitar ini dan hukuman berat akan dikenakan setimpal dengan perbuatan mereka.

Tuan Ibrahim melawat ke lokasi denai di Sungai Rembau.
Tuan Ibrahim melawat ke lokasi denai di Sungai Rembau.

Kes ini disiasat di bawah seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu (melupuskan bahan buangan terjadual secara haram) yang mana pesalah boleh dikenakan hukuman penjara mandatori maksimum lima tahun dan denda sehingga RM500,000.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan, empat penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong di sini pengsan dan sesak nafas, manakala ratusan lagi terpaksa dipindahkan selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia daripada sungai berhampiran kampung itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, empat wanita berusia antara 22 hingga 49 tahun itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Sehubungan itu, arahan pengosongan kampung itu dibuat dengan 102 penduduk daripada 36 keluarga terpaksa dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru.

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa pencemaran sisa kimia masih trauma

Pencemaran: Mangsa cadang ambil tindakan undang-undang

Bau busuk di Seelong dipercayai akibat pembuangan bahan kimia