'Ibu sudah tiada, saya rasa hilang separuh nyawa'

Kini tugas menjaga abangnya digalas sepenuhnya oleh Nik Noradila.
Kini tugas menjaga abangnya digalas sepenuhnya oleh Nik Noradila.
A
A
A

TANAH MERAH - Seorang penuntut yang selama ini menjadi ketua keluarga kerana menjaga ibunya terlantar sakit merasakan dirinya seperti hilang separuh nyawa susulan wanita tersebut meninggal dunia, pada petang Jumaat.

Dengan sayu, Nik Noradila Mohd Wira, 19, berkata, kini dia menguruskan abangnya, Nik Mohammad Khoidir Mohd Wira, 21, yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam seorang diri.

"Saya merasakan seperti hilang separuh nyawa kerana ibu yang selama ini saya jaga sudah tiada lagi di dunia ini. Namun pada masa sama, saya bersyukur kerana mendapat peluang berbakti kepada arwah ibu dengan menjaganya sepenuh kasih sayang ketika dia sedang sakit," luah gadis tersebut kepada Sinar Harian.

Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak itu dan abangnya menjadi yatim piatu selepas ibu mereka, Fahshakinah Syed Lazim Shah, 43, meninggal dunia pada jam 2.30 petang, Jumaat akibat mengalami masalah paru-paru kronik sejak Mei lalu manakala bapa mereka, Mohd Wira Mat meninggal dunia pada 2007.

Nik Noradila menguruskan ibunya yang hanya mampu terlantar sejak tiga bulan lalu sambil memberi perhatian kepada Nik Mohammad Khoidir.

"Besar tanggungjawab dan amanah yang arwah ibu tinggalkan. Selepas ini saya akan menjaga kebajikan abang," ujarnya yang masih menuntut dalam jurusan Diploma Pengurusan Hartanah di UiTM.

Jenazah Fahshakinah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Domis, Tanah Merah.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kekentalan jiwa Nik Noradila apabila menjaga ibunya yang terlantar sakit dan abangnya.

Artikel Berkaitan:

Remaja tersebut pernah mengambil peperiksaan semester berhampiran katil hospital kerana menjaga ibunya.