Perak perluas kawasan ternakan rusa

Razman menyampaikan ucapan ringkas ketika melawat Padang Ragut Sungai Soh, Kampung Bukit Sapi, di sini pada Jumaat.
Razman menyampaikan ucapan ringkas ketika melawat Padang Ragut Sungai Soh, Kampung Bukit Sapi, di sini pada Jumaat.
A
A
A

LENGGONG - Kerajaan negeri Perak akan memperluaskan kawasan penternakan rusa di negeri ini melibatkan daerah Hulu Perak, Larut Matang dan Selama.

Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, sehingga kini, Perak mempunyai 14 padang ragut bagi penternakan rusa melibatkan keluasan 270.4 hektar.

Menurutnya, sebanyak 4,985 ekor rusa diternak di negeri ini termasuk 1,500 ekor yang diternak di kawasan padang ragut manakala selebihnya secara persendirian.

"Dalam Rancangan Pembangunan Perak Tahun 2021 hingga 2025, kita bercadang meningkatkan pembangunan penternakan industri rusa melibatkan peruntukan sebanyak RM9.8 juta.

"Kita mencadangkan tambahan lima lagi padang ragut baharu melibatkan 57 penternak yang kita sasarkan untuk rancangan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melawat Padang Ragut Sungai Soh, Kampung Bukit Sapi pada Jumaat.

Hadir sama, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pahang iaitu ADUN Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabar; ADUN Beserah, Andansura Rabu dan ADUN Panching, Mohd Tarmizi Yahaya.

Mengulas lanjut, Razman berkata, kerajaan negeri bersedia memberikan kerjasama kepada mana-mana kerajaan negeri untuk meneroka potensi penternakan rusa tersebut.

Beliau berkata, 90 peratus baka induk rusa di negara ini diperoleh di Perak malah kerajaan negeri Terengganu menjadi antara negeri yang telah mengambil baka induk berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Rosli menjelaskan kehadiran tiga ADUN Pas ke kawasan padang ragut berkenaan bertujuan melihat secara dekat penternakan rusa berkenaan.

Menurutnya, ternakan tersebut dilihat berpotensi untuk dibangunkan di Pahang memandangkan negeri tersebut mempunyai kawasan yang luas dan subur.

Jelasnya, perkara itu akan dicadangkan kepada kerajaan negeri memandangkan Pas juga sebahagian daripada kerajaan.

"Di Pahang kita ada ternakan rusa ini tetapi tidak sehebat di Perak. Jadi kedatangan kini ini dengan tujuan untuk melihat sendiri potensi rusa untuk dibawa ke Pahang.

"Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan dan ini juga boleh dijadikan sebagai salah satu projek untuk parti. Usaha ini boleh membantu mempertingkat ekonomi sama ada kerajaan negeri mahupun Pas Pahang," katanya.