Kerakyatan automatik bayi lahir di luar negara perlu dipertahankan

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO menggesa Peguam Negara supaya menarik balik notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan tuntutan permohonan ibu warganegara Malaysia ke atas kewarganegaraan anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebarang prosedur rayuan harus ditarik balik serta-merta kerana keputusan mahkamah pada 9 September 2021 wajar dipertahankan.

Menurutnya, amalan penganugerahan warganegara secara automatik kepada bapa manakala ibu perlu memohon warganegara secara pendaftaran bagi situasi yang sama mengakibatkan ketidakadilan yang tidak berasas sama sekali.

“Malah amalan ini mengakibatkan kesulitan berpanjangan dan menjejaskan hak kanak-kanak untuk mendapat akses yang sama dengan kanak-kanak warganegara Malaysia kepada pendidikan di sekolah awam serta rawatan perubatan di hospital kerajaan dan kemudahan asas lain.

“Keperitan emosi dan mental pihak-pihak ini hanya kerana anak-anak mereka dilahirkan di luar negara tidak wajar dibiarkan berterusan berlaku.

“Situasi ini, jika tidak dihentikan akan menyebabkan kesan-kesan negatif dan kecelaruan terhadap kebajikan kanak-kanak, perkembangan mereka serta hubungan keluarga dengan adik-beradik yang lain dan prospek-prospek kehidupan seterusnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Pada 27 April lalu, kerajaan Malaysia memohon Mahkamah Tinggi supaya membatalkan saman yang difailkan oleh sebuah persatuan dan enam wanita yang berkahwin dengan warga asing bagi membolehkan anak mereka yang dilahirkan di luar negara mendapat hak menjadi warganegara Malaysia.

Saman tersebut difailkan oleh presiden dan pemegang jawatan Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor dan KL (Family Frontiers), Suriani Kempe dan enam wanita Malaysia lain pada 18 Disember lalu yang menuntut enam perintah mahkamah khusus.

Artikel Berkaitan:

Ia merangkumi perisytiharan bahawa Seksyen 1 (b) dan Seksyen 1 (c) dibaca bersama Perkara 8 (2) untuk memasukkan ibu-ibu Malaysia sebagai syarat bagi anak-anak yang lahir di luar negeri untuk diberi kewarganegaraan Malaysia secara automatik.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, permasalahan yang melanda kanak-kanak hanya kerana mereka dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara yang mengahwini warga asing diselesaikan dengan pendekatan bijaksana oleh Mahkamah Tinggi dengan memberi takrifan kepada istilah ‘bapa’ untuk turut merangkumi ‘ibu’.

Sehubungan itu, beliau berkata, selain penarikan balik notis rayuan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) harus segera menguatkuasakan keputusan ini dengan mengetepikan prosedur di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, ia bagi menyelesaikan kesemua permohonan tertunggak seperti mana saranan Mahkamah Tinggi menurut prosedur pemberian warganegara mengikut kuat kuasa undang-undang dengan kadar segera.

“Kegagalan pihak JPN dalam mematuhi keputusan mahkamah bukan sahaja boleh dianggap ingkar mahkamah tetapi akan turut menjejaskan hasrat murni Keluarga Malaysia yang dipelopori Perdana Menteri dalam menjamin keutuhan institusi keluarga serta menjamin hak kanak-kanak terlibat untuk mendapatkan kepentingan terbaik mereka ditegakkan,” jelasnya.