Tiada pemberian kewarganegaraan kepada PATI divaksin

Hajiji
Hajiji
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah tidak bercadang untuk memberikan sebarang kad pengenalan atau taraf kewarganegaraan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menerima vaksin Covid-19 di negeri ini, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata, ini kerana kerajaan negeri sentiasa memelihara hak keselamatan dan kepentingan rakyat Sabah.

“Bagaimanapun kerajaan negeri akan mempertimbangkan (pemberian kad pengenalan dan kewarganegaraan kepada) orang asal yang masih tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kedamaian) yang bertanya adakah sebarang cadangan memberikan kad pengenalan atau taraf kewarganegaraan kepada pendatang tanpa izin yang menerima vaksin di Sabah.

Sebelum ini media melaporkan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, kementerian itu akan mempertimbangkan untuk memberikan kad pengenalan diri atau kewarganegaraan kepada penerima vaksin di Sarawak dan Sabah, termasuk kalangan orang asal yang masih tidak memiliki identiti diri jika memenuhi syarat.

Menjawab soalan lisan Ewon tentang status vaksinasi Covid-19 di Sabah, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmey Yahya berkata, Sabah menerima lebih 5 juta dos vaksin Covid-19 sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan.

Shahelmey yang juga Pengarah Operasi Program Imunisasi Sabah berkata, daripada jumlah yang diterima itu, sebanyak 3.38 juta dos merupakan vaksin jenis Pfizer-BioNTech, Sinovac (1.28 juta dos), AstraZeneca (189,990 dos) dan CanSino (180,000 dos).

“Bulan September ini tambahan sebanyak 2.89 juta dos (vaksin) akan dibekalkan. Jumlah ini mencukupi untuk menampung keperluan vaksinasi bagi penduduk yang belum menerima vaksin,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, sehingga Selasa lepas (21 Sept) 59.4 peratus penduduk dewasa Sabah telah menerima dos lengkap vaksin Covid-19, manakala 33.8 peratus penduduk remaja negeri ini telah menerima dos pertama vaksin itu.

Katanya, bagi memberikan vaksin kepada penduduk di kawasan pedalaman Sabah, sebanyak 733 program ‘outreach’ vaksinasi telah dilaksanakan dan melalui program tersebut seramai 358,284 orang telah berjaya diberikan suntikan vaksin.

“Program ‘outreach’ telah dapat menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh penduduk Sabah khususnya yang berada di kawasan pedalaman, terpencil dan pulau-pulau yang mengalami kesukaran untuk mendapatkan vaksinasi di pusat pemberian vaksin (PPV),” katanya.- Bernama