X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Tiada tekanan kepada Kim Swee kemudi Sabah FC harungi Piala Malaysia

Datuk Ong Kim Swee
A
A

KETUA Jurulatih Sabah FC yang baharu dilantik Datuk Ong Kim Swee tidak menerima tekanan daripada pihak pengurusan pasukan menjelang tugas pertamanya pada saingan Piala Malaysia 2021 bermula Ahad ini.

Kim Swee, 50, yang pernah menjuarai Piala FA 1995 dan Liga Perdana 1996 ketika menyarung jersi skuad Sang Badak, berkata tiada penanda aras diletakkan Sabah FC bagi kejohanan berprestij itu yang menyambut ulang tahun ke-100 tahun ini.

Bagaimanapun, jurulatih yang telah melakar beberapa kejayaan bersama skuad kebangsaan di pentas antarabangsa itu tetap menaruh harapan dan ingin melihat Sabah FC memberikan persembahan positif sepanjang kempen kejohanan.

“Jika kita mampu keluar dari peringkat kumpulan, itu merupakan satu bonus dan sudah tentu selepas itu kita perlu memikirkan perancangan bukan sahaja selepas peringkat kumpulan, bahkan mengenal pasti apa yang perlu dilakukan untuk musim 2022,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sabah FC yang belum pernah menjulang Piala Malaysia dengan rekod terbaik sebagai naib juara sebanyak tiga kali pada 1996, 2002 dan 2003, diundi dalam Kumpulan D bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), Petaling Jaya City FC dan pasukan Liga Premier yang akan ditentukan dalam masa terdekat.

Walaupun tiada sasaran spesifik diletakkan, bekas pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) dan skuad senior kebangsaan itu mengakui pasukan tidak boleh mengambil mudah setiap perlawanan dalam kempen Piala Malaysia.

Beliau berkata, Piala Malaysia adalah antara platform bagi barisan pemain Sabah FC menampilkan kemampuan masing-masing untuk berada dalam perancangan pasukan menghadapi musim 2022.

“Saya ingin semua pemain Sabah FC buktikan yang mereka masih lagi relevan sebelum saya membuat apa-apa perubahan untuk musim akan datang,” kata pengendali kelahiran Melaka itu.

Pada 10 Sept lepas, Sabah FC mengumumkan Kim Swee sebagai pengendali baharu menggantikan jurulatih dari Indonesia Kurniawan Dwi Yulianto yang direhatkan susulan kemerosotan prestasi pasukan itu dalam saingan Liga Super.

Beliau terdahulu melepaskan jawatan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) disandangnya sejak 1 Januari tahun ini.

Menurut Kim Swee, Sabah FC sebelum ini pernah beberapa kali melamarnya tetapi terpaksa ditolak kerana faktor masa yang tidak bersesuaian serta dorongan untuk menumpukan tugas di FAM.

Namun, kali ini hatinya terbuka selepas mengadakan perbincangan bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Seri Bung Moktar Radin, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC Khairul Firdaus Akbar, Pengurus pasukan Marzuki Nasir dan Pengarah Teknikal Scott Ollerenshaw.

"Mereka mempunyai visi yang begitu baik untuk pasukan Sabah FC terutama dengan perancangan bukan saja bagi pasukan utama, tetapi secara keseluruhan pembangunan bola sepak di Sabah," katanya.

Berkongsi pandangan terhadap pasukan baharunya, beliau menyifatkan pasukan yang menamatkan saingan Liga Super musim ini di kedudukan kesembilan itu sebagai pasukan berdaya saing, namun terdapat ruang untuk diperbaiki bagi meraih keputusan yang konsisten pada masa hadapan.

“Pada pusingan pertama peringkat liga, Sabah FC mampu menyaingi pasukan yang baik seperti KDA FC dan Selangor FC tetapi pada pusingan kedua keputusan tidak memihak mereka. Jadi sudah tentu kita dapat melihat apa kelemahan yang harus diperbaiki terutama dalam latihan dan perlawanan,” katanya. -- Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!