Semua pihak perlu akur titah sultan: Amirudin

Semua pihak diminta akur titah sultan. (Gambar kecil: Amirudin Shari)
Semua pihak diminta akur titah sultan. (Gambar kecil: Amirudin Shari)
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor menggesa semua pihak menginsafi serta akur titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu rakyat terutama bukan beragama Islam menghentikan perbuatan mempersendakan keperibadian Rasulullah SAW serta mencemar kesucian Islam.

Amirudin Shari berkata, perbuatan menghina keperibadian Rasulullah SAW jelas satu tindakan jelik yang akan menjejaskan keharmonian serta perpaduan di negara ini.

"Saya menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu penghinaan terhadap junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.

ARTIKEL BERKAITAN: Hina Nabi: Sultan Selangor kecewa

"Titah baginda sultan dizahirkan seusai perbincangan Mesyuarat Dewan Diraja Selangor semalam," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengulangi pendiriannya yang mengecam sekeras-kerasnya segala bentuk penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Menurutnya, perbuatan terbabit harus dihentikan serta-merta supaya tidak mendatangkan kejadian tidak diingini sehingga mengugat kesentosaan negeri.

"Saya gesa pihak berkuasa termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab dalam isu ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa dengan perbuatan menghina keperibadian junjungan besar Rasulullah SAW oleh segelintir golongan bukan Islam sejak kebelakangan ini.

Titah baginda, kejadian penghinaan terhadap Rasulullah SAW serta isu-isu yang mencemar kesucian agama Islan kerap kali berlaku dan telah sampai ke tahap mencabar kesabaran umat Islam.

Dalam titah itu, baginda turut mengingatkan umat Islam agar tidak mencemuh agama dan kepercayaan orang bukan Islam.