MITI guna tiga pendekatan utama cerdaskan ekonomi negara

Mohamed Azmin ketika sesi menjawab soalan pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, pada Rabu. - Foto Bernama
Mohamed Azmin ketika sesi menjawab soalan pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menggunakan tiga pendekatan utama dalam usaha untuk memastikan ekonomi terus berjalan dengan lebih baik.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pendekatan itu merangkumi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang disifatkan sebagai pemangkin untuk membuka semula ekonomi secara selamat dan bersistematik.

Menurut beliau, negara berada di landasan terbaik dalam merangsang permintaan domestik memandangkan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa telah melebihi 80 peratus.

“Kedua, kerajaan juga akan terus memperkukuhkan asas-asas ekonomi negara melalui pelaksanaan dasar perdagangan dan pelaburan yang terbuka, telus serta mesra perniagaan.

“Ini termasuk usaha-usaha yang sedang dijalankan oleh kerajaan bagi meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Ketiga, Malaysia akan terus mensasarkan pelaburan berkualiti tinggi, berorientasikan teknologi termaju berpandukan NIA yang turut memberi fokus kepada kelestarian jangka masa panjang dengan menekankan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya,

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu.

Mengulas mengenai isu berkaitan pelaburan langsung asing (FDI) negara, Mohamed Azmin berkata, kerajaan mengambil maklum akan landskap semasa yang dijangkakan kekal mencabar dan kompetitif.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan telah mengambil tindakan agresif dan berterusan bukan sekadar untuk mengawal penyusutan tetapi turut mencerdaskan pelaburan asing negara dan seterusnya merealisasikan pemulihan ekonomi negara.

“Hasil daripada tindakan ini, Malaysia terus merekodkan pencapaian yang memberangsangkan.

“Bagi tempoh Januari hingga Jun 2021, sejumlah RM107.5 bilion pelaburan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama direkodkan melibatkan 2,110 projek yang dijangka dapat menjanakan 44,994 peluang pekerjaan.

“Pelaburan langsung asing yang diluluskan bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 melonjak dengan ketara sebanyak 214.9 peratus kepada RM62.5 bilion berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu iaitu RM19.8 bilion,” katanya.