MB arah pantau penceramah jemputan

Amiruddin bersalaman dengan tetamu yang hadir.
Amiruddin bersalaman dengan tetamu yang hadir.
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Jabatan Mufti dinasihatkan supaya meneliti setiap penceramah jemputan serta isi kandungan kuliah agama yang akan disampaikan oleh mereka di masjid-masjid negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kuliah atau ceramah agama yang disampaikan perlu berlandaskan ajaran Islam yang sebenar, serta tidak mencampur adukkan isu politik dan agama yang akhirnya memecahbelahkan masyarakat.

“Kita ingin melihat bahawa usaha berdakwah itu perlulah mengikut ajaran yang sebenar, jangan memberi ceramah yang boleh memecahbelahkan masyarakat, itu tidak betul.

“Dia (penceramah jemputan) bagi ceramah agama di masjid, tetapi ceramahnya lebih menghukum orang, membawa dakyah yang tidak betul, mengata Kerajaan PH menyokong fahaman Syiah, wahabi, LGBT, itu semua tidak betul, dan orang seperti ini perlu dihalang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu yang tular di media sosial berkenaan kuliah agama yang akan disampaikan oleh penceramah jemputan di sebuah masjid di sini, dibatalkan dan penceramah itu juga dikatakan disekat untuk memberi ceramah di negeri ini.

Aminuddin berkata, beliau akui penceramah itu disekat daripada beri ceramah dan kuliah agama di negeri ini berikutan membawa fahaman bertentangan selain boleh mendorong perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini.

Katanya, jika mahu memberi ceramah politik, jangan sesekali menggunakan masjid dan mereka boleh memohon permit serta berceramah di mana-mana kawasan lapang.

Aminuddin ditemui pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Masjid Negeri Sembilan serta Pelancaran Bulan Solat Berjemaah, semalam.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Pengarah JHEAINS, Mohd Zaidi Ramli.