Kerajaan lari tanggungjawab pulih industri sawit negara?

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Saranan Menteri Industri Utama, Teresa Kok supaya peneroka Felda tidak bergantung kepada tanaman Kelapa Sawit seolah-olah melepaskan beban dan masalah kepada rakyat serta lari daripada tanggungjawab.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu berkaitan turun dan naik komoditi seperti ini bukan perkara baharu dan kerajaan perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah itu dan bukan dengan cara memboikot negara asing.

“Kerajaan perlu cari jalan untuk stabilkan harga sama ada berunding dengan pengimpot besar seperti negara China dan India. Selain perlu berunding dengan negara-negara Eropah untuk teruskan import dengan kuantiti yang lebih besar dan bukannya memboikot.

“Yang penting apa tindakan dan langkah yang kerajaan perlu gunakan untuk stabilkan harga dan tindakan jangka pendek dan panjang bagi kurangkan bebanan pekebun kelapa sawit sewaktu harga jatuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Teresa mencadangkan supaya pekebun kecil menanam tanaman alternatif seperti pokok nanas, buluh dan kelapa supaya tidak bergantung kepada kelapa sawit semata-mata.

Ismail Sabri ketika mengulas tentang perkara tersebut berkata, cadangan tanaman alternatif memerlukan masa yang panjang untuk mendatangkan hasil pendapatan dan memerlukan kajian yang terperinci seboleh boleh dilaksanakan.

“Apakah jaminan kerajaan bahawa mereka boleh dapatkan pasaran untuk pekebun menjual hasil tanaman mereka? Cadangan ini memerlukan kajian dan jangka masa untuk tanaman tersebut boleh dijual. Bagaimana pula dengan modal benih dan kos-kos lain untuk penanaman komoditi baharu.

“Bagaimana pula dengan bantuan modal dan adakah kerajaan akan menyalurkan bantuan berkenaan. Semua persoalan ini perlu dijawab oleh kerajaan,” katanya.

Artikel Berkaitan: