ADUN pembangkang Kedah buat persidangan maya

ADUN Pembangkang Kedah menyertai persidangan maya selepas sidang DUN Kedah pada Selasa.
ADUN Pembangkang Kedah menyertai persidangan maya selepas sidang DUN Kedah pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Parti pembangkang Kedah mengambil inisiatif melaksanakan persidangan secara maya atau dalam talian selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Selasa.

Ia berikutan ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah tidak berpeluang membahaskan titah Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehudin Sultan Badlishah disebabkan sidang DUN Kedah kali ini hanya berlangsung pada sesi pagi bermula jam 9 pagi hingga 1 petang.

Ketua Pembangkang Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, kerajaan negeri membuat keputusan untuk mengehadkan tempoh persidangan dengan memberi alasan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sehubungan itu, kami mengadakan persidangan secara maya bagi membolehkan wakil rakyat yang tidak berpeluang bercakap sebelum jam 1 petang untuk membahaskan titah Sultan Kedah.

"Saya kesal tempoh masa sidang DUN Kedah agak singkat melibatkan sesi pagi sahaja sedangkan Parlimen boleh bersidang sehingga sesi petang," katanya pada sidang media ADUN pembangkang Kedah secara dalam talian pada Selasa.

Beliau berpendapat keputusan memendekkan tempoh sidang DUN Kedah tidak wajar dan seharusnya diberi kelonggaran bagi membolehkan lebih ramai wakil rakyat membahaskan isu.

Sebelum itu, empat ADUN iaitu ADUN Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris; ADUN Bakar Arang, Ooi Tze Min; ADUN Kota Darul Aman dan ADUN Bukit Selambau, R Summugam mengambil peluang membahaskan titah Sultan Sallehuddin.

Bekas Speaker DUN Kedah, Datuk Ahmad Kasim bertindak sebagai speaker persidangan maya parti pembangkang dan memberi peluang kepada ADUN terlibat membahas selama tempoh 25 minit setiap seorang.

Artikel Berkaitan:

Persidangan secara dalam talian melalui Facebook Pakatan Harapan Kedah disertai pemimpin pembangkang termasuklah ADUN Jitra, Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu bermula jam 2.30 petang dan tamat lebih kurang jam 4.23 petang.