Bakar tiga kereta mahu tuntut insurans

Kereta yang sengaja dibakar bagi tujuan menuntut insurans kenderaan.
Kereta yang sengaja dibakar bagi tujuan menuntut insurans kenderaan.
A
A
A

MELAKA - Tindakan dua lelaki membakar kereta mereka untuk menuntut insurans terbongkar apabila ditahan selepas membuat laporan polis pada 13 September lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, kedua-dua lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai bertindak demikian kerana mahu menjelaskan hutang ah long.

"Laporan polis yang diterima meragukan dan polis menahan dua suspek yang masing-masing bekerja sebagai kontraktor dan jurujual pada keesokannya di sekitar Bandar Melaka.

"Polis turut merampas dua unit telefon bimbit," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Sungai Udang di sini pada Selasa.

Tambah beliau, mereka mendakwa berdepan masalah kewangan dan melakukan perbuatan itu bagi menuntut ganti rugi insurans sebanyak RM250,000 sebagai alternatif membayar hutang ah long berjumlah RM500,000.

"Siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan khianat api, dadah dan curi," katanya.

Beliau memberitahu, polis menerima aduan daripada suspek berhubung kejadian kebakaran tiga kereta jenis Bentley, Ford Fiesta dan Hyundai Accent di Taman Datuk Tambhy Chik Karin, Taman Merdeka Batu Berendam pada jam 1.40 petang, 13 September lalu.

Menurut Abdul Majid, suspek juga dipercayai merancang membakar kereta mereka sejak tiga bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua mereka direman sehingga 27 September ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.