JKNT keluar kompaun RM2.7 juta langgar SOP

Dr Kasemani (kanan) memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada seorang pelajar di SMK Sultan Sulaiman pada Selasa.
Dr Kasemani (kanan) memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada seorang pelajar di SMK Sultan Sulaiman pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengeluarkan kompaun berjumlah RM2.7 juta kepada individu dan syarikat di negeri ini kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Januari lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, daripada jumlah itu, daerah Kemaman merekodkan kompaun paling tinggi iaitu lebih RM1 juta diikuti Dungun (RM923,000), Setiu (RM157,000), Kuala Terengganu (RM139,000) dan Marang (RM127,500).

Menurutnya, semua kompaun tersebut melibatkan 1,048 kesalahan yang dikesan dilakukan di seluruh Terengganu manakala 10 kesalahan lagi terus didakwa di mahkamah.

"Antara kesalahan dilakukan ialah tidak menjaga penjarakan fizikal, gagal mendaftar masuk premis menggunakan MySejahtera atau manual, gagal memakai pelitup muka, menaiki kenderaan melebihi had penumpang dibenarkan dan majikan gagal kemaskini rekod pekerja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pemberian vaksin Covid-19 kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, di sini pada Selasa.

Pada program itu, seramai 800 pelajar SMK Sultan Sulaiman, SMK Padang Negara dan Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin menerima dos pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer.

Ditanya mengenai pemeriksaan pematuhan SOP sepanjang Terengganu beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara sejak 17 September hingga Isnin, Dr Kasemani berkata, sebanyak RM49,500 nilai kompaun sudah dikeluarkan dalam tempoh empat hari itu.

Menurut beliau, ia melibatkan 24 kesalahan termasuk 22 kompaun kerana menaiki kenderaan melebihi kapasiti dibenarkan dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Artikel Berkaitan:

"Dua lagi kesalahan adalah masing-masing gagal daftar di MySejahtera dan ingkar perintah kuarantin," katanya.