Transformasi struktur perniagaan NAFAS penting: Kiandee

Zambri ketika menandatangani dokumen sambil diperhatikan oleh Kiandee (kanan) dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Azulita Salim.
Zambri ketika menandatangani dokumen sambil diperhatikan oleh Kiandee (kanan) dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Azulita Salim.
A
A
A

SHAH ALAM - Tranformasi struktur perniagaan efektif, teratur dan terancang dengan mempelbagaikan perniagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) adalah penting bagi mewujudkan model perniagaan lebih lestari bagi memberi pulangan lebih baik kepada golongan sasar.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membangunkan Pertubuhan Peladang (PP) yang mampu berdiri sendiri.

Beliau berkata, beberapa perkara turut dibincangkan dengan Pengerusi NAFAS, Datuk Zambri Yaakob dalam menerajui pergerakan PP sebagai badan perniagaan berdaya maju, sekali gus membina pertubuhan yang kompeten dan berdaya saing di setiap peringkat.

“Saya sememangnya sentiasa mengikut prestasi PP dari semasa ke semasa dan berharap model perniagaan projek-projek berjaya di PP mestilah diteruskan, malah perlu direplikasikan di lain-lain PP yang berpotensi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Kiandee berkata, peranan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebagai pendaftar amatlah penting bagi memastikan pergerakan PP di semua peringkat berjalan baik dan diperkasa agar telus, berintegriti dan profesional.

Kiandee (dua dari kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan Zambri (tiga dari kanan).
Kiandee (dua dari kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan Zambri (tiga dari kanan).

“Penyemakan semula keseluruhan perundangan LPP dan PP juga perlu disegerakan bagi membolehkan pindaan-pindaan sesuai mengikut kehendak semasa dapat dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

“Tadbir urus baik akan dijadikan asas dan panduan utama agar kepentingan peladang dan pesawah sentiasa dijaga,” ujarnya.

Ronald turut mengucapkan tahniah ke atas pelantikan Zambri sebagai Pengerusi NAFAS yang baharu.

Katanya, pelantikan itu membuktikan kuasa memilih Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah telah dikembalikan semula kepada kepimpinan peladang sendiri secara demokrasi.

“Ini berikutan pindaan peraturan yang dilaksanakan kerajaan bagi memastikan hak memilih dikembalikan kepada ahli peladang sendiri seperti peraturan yang terdahulu sebelum dipinda pada tahun 2019.

“Melalui pindaan ini juga, semua Ahli Jemaah Pengarah di semua peringkat hanya layak memegang jawatan untuk tiga penggal sahaja, kemudian perlu berehat selama satu penggal sebelum layak dipilih semula,” jelas beliau.