Warga Ireland mati dibunuh, suspek tinggalkan nota

Mayat mangsa dibawa ke HPP untuk bedah siasat pagi esok. Gambar kanan: Nota yang ditemui di kondominium mangsa.
A
A

GEORGETOWN- Seorang lelaki warga Ireland ditemui mati di bilik kondominiumnya di MBF Tower, Jalan Sultan Ahmad Shah pada jam 5.15 petang tadi.

Mayat Brian Patrick O’Reilly ditemui dalam keadaan tangannya diikat menggunakan tali kasut manakala kakinya diikat dengan kain di bilik utama kondominium berkenaan.

Mayat mangsa yang berusia 50 tahun itu juga didapati dalam keadaan berdarah dengan kesan kelar di leher dan tikaman di perutnya dipercayai dengan senjata tajam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, siasatan lanjut mendapati, kepala mangsa juga cedera dengan kesan hentakan menggunakan senjata tumpul dipercayai kuali.

Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai pengurus teknologi maklumat (IT) sebuah syarikat pemasaran yang berpengkalan di Singapura itu dipercayai telah meninggal dunia 24 jam lalu iaitu kira-kira jam 10 malam semalam.

Beliau berkata, syarikat tempat mangsa bekerja terletak bersebelahan dengan kediaman mangsa.

"Kejadian disedari seorang ejen hartanah yang bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal untuknya dan pada 2 Mac lalu, lelaki berkenaan menghubungi mangsa untuk mendapatkan kunci pejabatnya bagi membaiki penghawa dingin.

"Bagaimanapun, mangsa tidak menjawab panggilan tersebut. Pada jam 10 pagi hari sama, dengan bantuan pengurusan kondominium tersebut, lelaki itu telah naik ke kediaman mangsa kerana hanya mangsa yang mempunyai kunci pejabatnya.

"Ketika itu, seorang lelaki warga asing berkulit putih telah keluar dan memaklumkan bahawa mangsa tidak sihat dan semua temu janji mangsa telah dibatalkan," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, dua hari selepas itu, lelaki itu sekali lagi menghubungi mangsa namun gagal.

"Lelaki berkenaan terpaksa menghubungi syarikat mangsa di Singapura kerana mangsa masih gagal dihubungi. Dengan arahan syarikat itu, lelaki itu telah mendapatkan tukang kunci untuk memecah masuk ke rumah mangsa dan mendapati mangsa telah meninggal dunia.

"Siasatan awal mendapati, mangsa mendaftar masuk ke kediaman itu pada 4 Februari lalu. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, mangsa bersama tiga lelaki telah menaiki lif untuk ke tingkat 12 pada jam 9.57 malam, 1 Mac namun keluar semula lima minit kemudian," katanya.

Che Zaimani berkata, rakaman CCTV pada keesokkan harinya mendapati, seorang lelaki warga asing berkulit putih keluar seorang diri dari kondominium tersebut dengan membawa beg pakaian.

"Lelaki yang merupakan suspek itu menaiki sebuah kenderaan jenis Audi. Pihak forensik menjumpai 37 barang kes di tempat kejadian termasuk sebuah nota bertulis 'I respected the police and still do but justice sometimes has to be gained. I hate you mafia kiling scamers, I love my girl'.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang dan bedah siasat akan dijalankan jam 10 pagi esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia