Polis Kuantan pantau aktiviti basikal

Tangkap layar seorang penunggang basikal didapati menunggang dalam keadaan bahaya dengan mengikut rapat di belakang sebuah treller di Jalan Kuantan-Gambang baru-baru ini.MOHAMMED RIZAL (Gambar Kecil)
Tangkap layar seorang penunggang basikal didapati menunggang dalam keadaan bahaya dengan mengikut rapat di belakang sebuah treller di Jalan Kuantan-Gambang baru-baru ini.MOHAMMED RIZAL (Gambar Kecil)
A
A
A

KUANTAN - Polis Kuantan akan memantau aktiviti berbasikal secara berkumpulan di daerah ini bagi mengelakkan mereka melakukan aksi berbahaya terutama di jalan raya.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohammed Rizal Kamarudin berkata, pemantauan akan dilakukan selepas aktiviti itu dibenarkan di negeri yang berada di Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berikutan kelonggaran aktiviti riadah dan berbasikal disalahgunakan oleh segelintir individu.

“Beberapa hari lalu, tular satu video penunggang basikal yang melanggar peraturan jalan raya. Kita mengingatkan penunggang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan penalti (kompaun) juga boleh dikeluarkan kepada mereka mengikut Seksyen 54 akta yang sama.

"Bagi kesalahan ini, denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 serta boleh dipenjarakan tidak melebihi 12 bulan jika didapati bersalah," katanya pada sidang akhbar di pekarangan Pejabat Polis Trafik Ibu Jalan Mat Kilau pada Isnin.

Sebelum ini tular di media sosial video yang merakamkan aksi bahaya seorang penunggang basikal yang mengikut rapat di belakang lori treler di Jalan Kuantan- Gambang, di sini.

Video berdurasi 2 minit 34 saat itu dipercayai dirakam pada 17 September lalu oleh seorang pemandu lori yang memandu di belakang basikal berkenaan.

Perakam dipercayai menghubungi pemandu lori di hadapannya dan memaklumkan ada sebuah basikal mengikut rapat kenderaan terbabit sehingga menimbulkan kebimbangan kedua pemandu lori terbabit.

Mohammed Rizal memberitahu, setakat ini pihaknya masih belum mengeluarkan kompaun kepada individu atau kumpulan berbasikal di daerah ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita memberi pendidikan dan kesedaran melalui amaran terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan undang-undang,” ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohammed Rizal berkata, sepanjang tempoh Januari hingga kini sejumlah 345 kenderaan disita atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 42 (1) dan 64 APJ 1987.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 62 kertas siasatan telah dibuka dan 24 daripadanya dituduh di mahkamah manakala dalam tempoh Januari hingga Ogos, sebanyak 847 saman dikeluarkan,” katanya.