Kemensah Heights: MOSTI usaha kenal pasti tanda awal tanah runtuh

Video yang dikongsikan Ahmad Amzad (kanan) ketika beliau mengadakan lawatan di kawasan tanah runtuh, Kemensah Heights, Ampang pada Isnin.
Video yang dikongsikan Ahmad Amzad (kanan) ketika beliau mengadakan lawatan di kawasan tanah runtuh, Kemensah Heights, Ampang pada Isnin.
A
A
A

AMPANG - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang dalam proses untuk mengenal pasti petanda awal kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kemensah Heights di sini pada Jumaat.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, langkah tersebut bertujuan bagi membantu pihak berkuasa memantau dan mencegah kejadian sedemikian daripada berulang pada masa akan datang.

Beliau berkata, usaha itu dilakukan menggunakan teknologi dibangunkan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) yang berupaya melaksanakan pemetaan risiko tanah runtuh bagi melalui analisa dan teknologi 'remote sensing' angkasa.

“Untuk kejadian di Kemensah Heights, imej satelit sedang diproses dengan membandingkan imej sebelum dan selepas kejadian. Ia boleh mengenal pasti jika ada petunjuk awal sebelum kejadian dan apa yang boleh disyorkan daripada imej terbaharu.

“Sekiranya ada tanda-tanda yang mana boleh dijadikan panduan supaya pada masa akan datang isu dan saranan dapat diberi lebih awal sebelum kejadian berlaku.,” katanya menerusi satu video pendek yang dikongsikan di Facebooknya pada Isnin.

Pada Jumaat, sebanyak tiga rumah banglo dan 12 rumah jenis bandar membabitkan 27 keluarga terjejas berikutan kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights.

Kejadian tersebut bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa.

Sementara itu, Ahmad Amzad ketika lawatannya di tempat kejadian pada pagi Isnin turut memaklumkan, MOSTI akan terus memberikan perkhidmatan sokongan teknikal dan teknologi kepada pihak berkuasa dalam pengawasan risiko pembangunan cerun bukit.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, sistem pemantauan cerun secara dalam talian yang dikenali ‘System E-Slope’ juga telah dibangunkan dan dioperasikan bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi tujuan pemantauan serta pencegahan.