X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Dron ciptaan UTHM dicatat dalam MBR

Seorang peserta projek menunjukkan sijil yang diperoleh daripada MBR atas kejayaan mencipta C-Drone.
A
A

BATU PAHAT - Kejayaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencipta satu dron kargo bersaiz besar pertama di Malaysia dikenali sebagai C-Drone dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBR) pada Rabu.

Lebih menarik, kejayaan tersebut menjadi hadiah untuk UTHM yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-28 pada Khamis.

Ketua Projek C-Drone, Profesor Madya Dr Zamri Omar berkata, kejayaan menempa nama dalam MBR itu adalah bagi kategori beban terberat yang boleh diangkat sesebuah dron.

"C-Drone digerakkan oleh kuasa bateri dan ia daripada jenis Multirotor Vertical Takeoff and Landing (VTOL).

"Saiz prototaip dron kargo UTHM ini kira-kira lima meter panjang, lima meter lebar dan dua meter tinggi, manakala berat kasarnya pula sekitar 400 kilogram," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, projek pembangunan C-Drone itu bertujuan menghasilkan suatu 'proof of concept' (POC) iaitu bagi membuktikan konsep reka bentuk dan sistem dron kargo besar itu boleh dibina dan berupaya beroperasi dengan baik.

Pada percubaan rekod penerbangan, katanya, C-Drone berjaya terbang dengan membawa beban kargo seberat 200 kilogram.

Menurutnya, projek yang memakan masa kurang dua tahun itu dijayakan sekumpulan penyelidik UTHM yang mempunyai latar belakang pelbagai bidang kepakaran.

"Ia turut dibantu sekumpulan pelajar dan penasihat pakar daripada universiti tempatan dan pihak industri sebelum prototaip C-Drone direka bentuk, dibina serta diuji terbang di UTHM.

"Bermula dengan aktiviti analisis dan reka bentuk, simulasi, fabrikasi komponen, pemasangan, integrasi sistem dan pengujian terbang, semuanya dilaksanakan dalam fasiliti makmal projek C-Drone yang berlokasi di kampus induk.

"Dana projek C-Drone ini pula diperolehi daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan sebahagian dibiayai UTHM," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!