Syor bahas laporan tahunan Suhakam di Dewan Rakyat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender Parlimen Malaysia mengesyorkan supaya Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dibahaskan di persidangan Dewan Rakyat.

Pengerusinya, Nor Azrina Surip berkata, syor itu dibuat semasa mesyuarat kedua jawatankuasa tersebut di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

"Mesyuarat telah mendengar dan membincangkan taklimat daripada Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail berkenaan 'Isu-isu Utama Dalam Laporan Tahunan Suhakam'," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata dalam mesyuarat itu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut membentangkan taklimat 'Pemerhatian Di Atas Cadangan Penggubalan Akta Gangguan Seksual' dan Malaysia Towards Enacting A Gender Equality Act'.

Nor Azrina yang juga Ahli Parlimen Merbok berkata mesyuarat itu disertai Ahli Parlimen Klang Charles Anthony Santiago, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Lembah Pantai), Kasthuriraani A/P Patto (Batu Kawan), Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang) dan Ma’mun Sulaiman (Kalabakan).

Katanya, mesyuarat turut dihadiri pegawai daripada Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Kewangan yang bertindak sebagai wakil tetap. - Bernama

Artikel Berkaitan: