Aduan terhadap HSBC akan terima keputusan positif: NUBE

J SOLOMON
J SOLOMON
A
A
A

SHAH ALAM - UK National Contact Point (UK NCP) memutuskan bahawa terdapat merit untuk menyiasat aduan yang difailkan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) dan UNI Global Union tentang tindakan tidak adil HSBC Bank Malaysia Berhad ke atas pekerja-pekerja bank.

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, UK NCP membuat keputusan menerima beberapa aduan yang difailkan itu dan menyifatkannya ia sah dan aduan akan dibawa ke peringkat siasatan selanjutnya atau untuk proses mediasi.

Katanya, keputusan itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu lalu.

"Dalam keputusannya, UK NCP telah memutuskan bahawa beberapa isu yang dibangkitkan oleh pengadu (NUBE dan UNI Global Union) ada merit untuk diperiksa dengan lebih lanjut.

"Menurut UK NCP, keputusan pengaduan untuk meneruskan mediasi atau pemeriksaan lebih lanjut, didasarkan pada penilaian awal yang dibuat berdasarkan maklumat yang telah diberikan oleh semua pihak yang terlibat," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

NUBE dengan sokongan UNI Global Union pada Disember tahun lalu telah memfailkan aduan secara rasmi kepada UK NCP bagi Garis Panduan OECD Mengenai Perniagaan Multinasional.

Ia didakwa bukan sahaja disebabkan tindakan tidak adil HSBC Bank Malaysia Berhad terhadap pekerja-pekerja bank malahan ekoran kegagalan bank itu untuk menghormati undang-undang buruh dan perjanjian kolektif yang telah ditandatangani di Malaysia.

HSBC Malaysia Berhad merupakan anak syarikat HSBC Holdings Plc iaitu sebuah syarikat pelaburan dan perkhidmatan kewangan multinasional Britain.

Artikel Berkaitan:

Dalam aduan tersebut, NUBE dan UNI Global Union mendakwa bahawa HSBC Bank Malaysia Berhad telah melanggar artikel tertentu, termasuk di bawah Bab V Garis Panduan (Hubungan Pekerjaan dan Industri).

Sebanyak enam kesalahan disenaraikan iaitu didakwa dengan sengaja melewatkan rundingan semasa proses perundingan bersama dan mengganggu dan menjadikan ahli-ahli NUBE dan wakil kesatuan sebagai mangsa kerana penyertaan mereka dalam tindakan perhubungan perusahaan yang diambil sebagai tindak balas ekoran kegagalan dalam proses rundingan.

Bank itu juga didakwa menghalang wakil kesatuan sekerja daripada memasuki tempat kerja di HSBC Bank Malaysia Berhad untuk tujuan bertemu dengan ahli-ahli kesatuan sekerja dan gagal mengambil bahagian dalam proses penyelesaian sengketa dengan NUBE dengan sewajarnya.

Bank itu juga dikatakan melakukan proses penyumberan keluar kerja termasuk 'memaksa' Skim Pemisahan Sukarela (VSS)/Skim Pemisahan Bersama (MSS) dan gagal berunding dengan NUBE sebelum proses ini dilaksanakan serta menafikan akses kepada ahli-ahli NUBE dan pekerja ke ruang kerja dan pekerjaan mereka.

Justeru itu, Solomon berkata, NUBE menyambut baik keputusan itu yang secara langsung menunjukkan bahawa ada asas yang kuat dalam aduan yang dikemukakan kepada UK NCP.

"NUBE dan UNI Global Union akan memberikan kerjasama susulan kepada UK NCP. Oleh itu, kami optimis bahawa keputusan positif dan membina akan dicapai demi kepentingan terbaik ahli-ahli NUBE dan para pekerja bank di Malaysia.

"Untuk rekod, NUBE terpaksa mengemukakan masalah ini kepada UK NCP kerana pihak berkuasa tempatan termasuk Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia telah gagal membantu mencari penyelesaian konstruktif terhadap isu-isu yang telah dibangkitkan sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Katanya, NUBE juga berterima kasih atas sokongan padu yang diberikan oleh UNI Global Union dan pertimbangan sewajarnya yang telah diberikan oleh UK NCP dalam menyiasat aduan itu dan keputusan badan berkenaan untuk meneruskan tindakan bagi mencari penyelesaian.