Tanah runtuh: Kemensah Heights diisytihar kawasan bencana

Keadaan beberapa kediaman penduduk yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Height ketika tinjauan pada Sabtu. - Foto Bernama
Keadaan beberapa kediaman penduduk yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Height ketika tinjauan pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

AMPANG - Kawasan di Jalan Kemensah Heights di sini yang dilanda tanah runtuh pada Jumaat diisytihar sebagai kawasan bencana.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak 27 keluarga terlibat dalam insiden tersebut melibatkan tiga buah rumah banglo dan 24 unit rumah bandar di sini.

Menurutnya, pihak Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Selangor turut mengarahkan semua mangsa tersebut untuk berpindah sementara buat masa ini.

Amirudin berkata, kerajaan Selangor turut menyalurkan bantuan segera sebanyak RM500 kepada mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana tersebut.

“Kita akan mendapatkan maklum balas daripada pihak berkenaan mengenai langkah seterusnya dan saya akan maklumkan dalam masa terdekat jumlah unit yang selamat diduduki serta tindakan susulan yang akan dilakukan.

“Pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan meletakkan kanvas di kawasan runtuhan untuk mengelakkan ia terjejas pada air dan unsur-unsur lain yang mungkin menyebabkan kerapuhan struktur tanah serta runtuhan susulan,” katanya setelah melawat mangsa runtuhan di sini pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh, 28 keluarga di Kemensah Heights diarah pindah

Dalam pada itu, beliau turut mengulas kenyataan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memaklumkan tentang peruntukan RM1 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk pembinaan cerucuk di kawasan yang terlibat.

Bagaimanapun, Amirudin memaklumkan kerajaan negeri akan berusaha untuk memberi bantuan mengikut peruntukan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

“Pada Rabu depan, pihak MPAJ akan memberi laporan penuh dan kita nak tunggu (laporan).

“Kalau kerajaan Persekutuan nak beri peruntukan, terima kasih. Kalau tidak, kami akan usahakan mengikut peruntukan kerajaan negeri terutama pada pihak tanah-tanah kerajaan di bawah rizab sungai,” katanya.

Pada Jumaat, Mohamed Azmin memaklumkan pembinaan cerucuk besi perlu dilaksanakan segera di kawasan yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di sini bagi menahan sebarang pergerakan tanah di kawasan cerun runtuhan itu.

Menurut beliau, pihaknya telah meminta pertimbangan dan peruntukan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Kewangan bagi tujuan tersebut.