CIDB ikrar akan terus bawa pihak terbabit insiden ke mahkamah

CIDB
CIDB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini menyatakan komitmen untuk terus membawa pihak yang terbabit dalam kemalangan di tapak bina ke muka pengadilan.

Ketua Eksekutifnya Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid berkata ini bagi memastikan kontraktor yang terlibat dalam pembinaan sesuatu projek menjalankan kerja mengikut peruntukan undang-undang.

"Semua pihak yang terlibat dalam rantaian pembinaan ini mempunyai tanggungjawab besar, sekiranya berlaku kecuaian, maka pihak yang terlibat boleh diambil tindakan mengikut peruntukan Akta 520 (Akta CIDB 1994),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Langkah itu juga katanya seiring dengan ketegasan CIDB dalam menjaga kepentingan orang awam dan pengguna.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini yang menjatuhkan hukuman denda RM250,000 berserta kos terhadap kontraktor, Tuck Sin Engineering and Construction Sdn Bhd selepas didapati bersalah menurut Seksyen 34 D(1) Akta CIDB 1994.

Syarikat itu merupakan kontraktor projek KL Eco City Link Bridge yang runtuh semasa dalam pembinaan dan mengorbankan seorang pekerja warga Vietnam, Tran Xuan Vang pada 30 Nov 2016.

Mengikut Seksyen 34D, mana-mana kontraktor yang melanggar kewajibannya menurut 34B(1)(c) sehingga menyebabkan kematian, boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.- Bernama

Artikel Berkaitan: