X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

13 geng 'motocross' ditahan ceroboh hutan simpan

Lokasi kumpulan motocross berkumpul. - Foto ihsan Jabatan Perhutanan Terengganu
A
A

HULU TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Hasrat sekumpulan peminat sukan extrem motocross yang sanggup menceroboh Hutan Simpan Tembat, Kuala Berang, di sini dipercayai untuk menjalankan aktiviti sukan lasak tidak berhasil selepas kehadiran mereka berjaya dihidu penguat kuasa Jabatan Perhutanan Terengganu pada Khamis.

Pengarahnya, Roslan Rani berkata, kehadiran 13 lelaki tempatan yang berusia antara 32 hingga 49 tahun menceroboh hutan simpan dengan menunggang motosikal lasak pelbagai model itu di tahan kira- kira jam 1 petang.

Antara motosikal lasak yang disita untuk siasatan lanjut. - Foto ihsan Jabatan Perhutanan Terengganu
Antara motosikal lasak yang disita untuk siasatan lanjut. - Foto ihsan Jabatan Perhutanan Terengganu

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kumpulan berkenaan bertindak menceroboh hutan simpan ini dipercayai untuk melakukan aktiviti sukan lasak tersebut tanpa kebenaran daripada Jabatan Perhutanan.

"Di sini, kami ingin mengingatkan bahawa hutan simpan kekal merupakan hutan tertutup yang tidak boleh sewenang-wenangnya diceroboh bagi apa-apa tujuan sekalipun melainkan jika mempunyai kebenaran daripada pihak berkuasa negeri.

"Kesemua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 47 (1) (c) Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-pakai) 1986 Negeri Terengganu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, 13 kenderaan terbabit kini disita untuk siasatan lanjut dan pihaknya meminta orang ramai yang memperoleh maklumat berkaitan apa jua pencerobohan di dalam hutan simpan kekal diharap dapat memaklumkan secara rasmi kepada pihak jabatan bagi membolehkan siasatan dijalankan.

"Jabatan Perhutanan Terengganu akan sentiasa menjalankan operasi pemantauan bersepadu bagi memastikan aktiviti pencerobohan hutan simpan kekal dapat dibendung," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!