X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

Prospek penerbangan positif, MAHB dijangka terima manfaat

A
A

PROSPEK industri penerbangan dilihat lebih positif susulan pembukaan semula Langkawi kepada pelancong yang telah lengkap divaksin, dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dijangka menerima manfaat langsung daripada gelembung perjalanan domestik, menurut CGS-CIMB Securities.

“Pemulihan bagi kapasiti pesawat dan perjalanan udara ke Langkawi adalah baik kepada MAHB disebabkan pertambahan trafik orang ramai dan tambang rendah bagi perjalanan udara, di samping promosi hotel yang sedang dijalankan di Langkawi.

“Syarikat penerbangan seperti AirAsia Group Bhd akan turut mendapat manfaat ini walaupun pada fasa permulaan, ia mungkin perlu berdepan persaingan yang tinggi, tambang rendah, muatan yang tidak sekata bagi penerbangan keluar dan masuk, dan kedatangan penumpang yang menggunakan kredit daripada penerbangan mereka yang dibatalkan sebelum ini,” menurut firma broker itu dalam nota pada Jumaat.

CGS-CIMB berkata, walaupun ujian pengesanan Covid-19 telah diperkenalkan sebagai sebahagian daripada peraturan gelembung perjalanan ke Langkawi, masih terdapat risiko pelancong yang dijangkiti Covid-19 masuk ke pulau itu, sekali gus berpotensi mencetuskan jangkitan dan kluster.

Malah, menurutnya, sebahagian daripada pelancong yang baharu dijangkiti mungkin membawa masuk virus itu ke negeri asal mereka.

Menurut CGS-CIMB, risiko-risiko ini mungkin lebih tinggi bagi gelembung perjalanan Langkawi berbanding program Phuket Sandbox berikutan tahap ujian Covid-19 untuk ke Langkawi yang tidak terlalu ketat.

“Kesannya, gelembung perjalanan Langkawi mungkin dihentikan seketika pada masa akan datang sekiranya jangkitan berlaku.

“Apa yang pasti, pembukaan semula perjalanan atau pengembaraan domestik ini tidak bermakna kemajuan secara lancar, sebaliknya kami jangkakan ada cabaran turun naik di sepanjang perjalanan itu," katanya.

Dalam program Phuket Sandbox yang dilancarkan oleh Thailand, kedua-dua pengembara domestik dan antarabangsa perlu mendapat vaksin Covid-19 dan melepasi saringan ujian 'real-time reverse transcriptase-polymerase chain reaction' atau tindak balas rantaian polimerase masa nyata (RT-PCR) yang mempunyai ketepatan hampir 100 peratus.

Memetik Langkawi sebagai contoh, kit ujian kendiri menggunakan sampel air liur adalah dibenarkan meskipun kurang tepat dengan ketepatan sehingga 94 peratus sahaja seperti yang dinyatakan oleh sumber daripada farmaseutikal.

CGS-CIMB mengulangi saranan overweight kepada sektor penerbangan dengan MAHB sebagai pilihan utama. Ia memberi saranan ‘tambah’ kepada operator syarikat penerbangan itu dengan harga sasaran (TP) RM6.96 dan saranan ‘kurang’ kepada AirAsia Group dengan TP 23 sen.

Pada pendapatnya, AirAsia Group berdepan risiko untuk diklasifikasikan sebagai syarikat Nota Amalan 17 pada 8 Jan 2022 sekiranya syarikat penerbangan tambang rendah itu tidak menyelesaikan kedudukan ekuiti pemegang saham negatifnya atau Bursa Malaysia tidak melanjutkan tempoh pengecualian. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!