Rakyat perlu tegas kecilkan jurang sosioekonomi

Tangkap layar Wacana Sinar Harian Edisi Ke 290 yang bertajuk Hari Malaysia: Menu Penyatuan Negara
Tangkap layar Wacana Sinar Harian Edisi Ke 290 yang bertajuk Hari Malaysia: Menu Penyatuan Negara
A
A
A

SHAH ALAM - Kesenjangan yang berlaku antara taraf sosial, ekonomi, pendidikan dan infrastruktur negeri yang bersatu dalam Persekutuan Malaysia menimbulkan kerisauan seluruh rakyat di dalam negara.

Presiden Majlis Belia Sabah, Ahmad Farid Sainuri berkata, rakyat perlu bertegas dalam bersatu untuk mengecilkan jurang sosioekonomi tersebut.

“Kita tidak boleh berhenti, saya sangat terkesan dengan kisah adik-adik di pedalaman Sabah dan Sarawak yang tiada internet tetapi dalam masa sama rakan di Sarawak dan Sabah tidak perjuangkan nasib-nasib rakyat yang menghadapi kesukaran di sesetengah negeri di Semenanjung Malaysia.

“Apabila ada semangat tolong menolong, prihatin terhadap nasib satu sama lain dalam persekutuan Malaysia, akhirnya baru kita dapat capai menu utama penyatuan negara.

“Pada akhirnya, kita boleh sama-sama bangga dengan istilah bangsa Malaysia, satu Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Harian Edisi Ke 290 yang bertajuk Hari Malaysia: Menu Penyatuan Negara pada Khamis.

Turut hadir, Felo Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya, Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi dan Pengarah dan Ketua Penyelidik Nusantara Academy, Nadge Ariffin, manakala Edlynna Hanie Hamid sebagai moderator.

Dalam pada itu, Ahmad Farid berkata, sejarah negara perlu ditelusuri dengan baik yang akan menjadikan penyatuan kepada negara.

Artikel Berkaitan:

“Dalam sejarah, kita sendiri ulas panjang kontrak sosial yang wujud dalam Malaysia yang juga menjadi asas kepada dasar ekonomi.

“Perkara ini akan bersangkut paut dengan kesejahteraan rakyat. Kalau kita tidak faham kenapa ada polisi sedemikian seperti kuota dari segi aspek kontrak sosial itu.

“Kita risaukan bibit perpecahan yang akan menjadi punca kegagalan penyatuan pembentukan Malaysia itu kerana kita saling tidak tahu menahu latar belakang masing-masing akibatnya akan berlaku tidak percaya,” ujarnya.

Jelas beliau, apabila sejarah tidak difahami dengan baik, ia akan menyebabkan rakyat tidak menjaga kedaulatan dan patriotisme negara.