Polis Sabah rampas syabu bernilai RM105,000

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass (kanan) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas dari seorang lelaki warga asing dalam satu operasi di Sandakan ketika mengadakan sidang media hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass (kanan) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas dari seorang lelaki warga asing dalam satu operasi di Sandakan ketika mengadakan sidang media hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis berjaya menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah, berhampiran sebuah gudang di Batu 3, Sandakan, Jumaat lepas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata ketika tangkapan, suspek sedang memegang kotak mengandungi dua paket plastik yang setiap satunya berisi ketulan hablur disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 2.1 gram, dianggarkan bernilai RM105,000.

Beliau berkata hasil soal siasat awal, suspek yang merupakan warga negara asing berumur dalam lingkungan 30an itu memperoleh bekalan dadah berkenaan dari Kota Kinabalu yang dibawa melalui bas.

“Suspek yang tinggal di kawasan setinggan Batu 2 juga didapati positif dadah selepas ujian air kencing dijalankan. Polis kini sedang menjalankan siasatan dan risikan untuk mengesan pembekal dadah berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis kontingen Sabah Kepayan, di sini hari ini.

Zaini berkata suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari sehingga 8 Mac ini.

Sementara itu, Zaini berkata sejak Januari hingga 3 Mac ini, seramai 2,819 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun 1952 iaitu meningkat sebanyak 357 atau 14 peratus berbanding hanya 2,462 orang pada tahun lepas dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata dadah jenis syabu merupakan rampasan yang paling banyak dibuat iaitu sebanyak 6,346.27 gram diikuti daun ketum sebanyak 6,164.01 gram.- Bernama

Artikel Berkaitan: