Semarak Hari Malaysia dengan kayuhan basikal klasik

Seramai 47 peserta terlibat dalam Program Kayuhan Basikal Klasik sempena Hari Malaysia dari Kampung Bongek ke Kampung Gadong pada Khamis.
Seramai 47 peserta terlibat dalam Program Kayuhan Basikal Klasik sempena Hari Malaysia dari Kampung Bongek ke Kampung Gadong pada Khamis.
A
A
A

REMBAU - Bagi menyemarakkan semangat patriotisme sempena sambutan Hari Malaysia, seramai 47 individu menyertai program kayuhan basikal klasik sejauh 20 kilometer dari Kampung Bongek ke Kampung Gadong di sini pada Khamis

Program anjuran Penggerak Komuniti Rembau itu merupakan kali ketiga dianjurkan yang melibatkan peserta berusia antara 16 hingga 68 tahun.

Pengerusi Penggerak Komuniti Rembau, Ab Latip Alias berkata, pemilihan program kayuhan basikal klasik sebagai mengimbas kenangan orang dahulu yang menggunakan basikal sebagai pengangkutan utama.

"Tujuan kita anjurkan program ini sebagai mengingati hari penubuhan Malaysia yang ke-58 tahun pada 16 September.

"Bagi saya program atau acara meraikan sambutan Hari Malaysia ini perlu diadakan bagi mengingati jasa pejuang terdahulu yang bertungkus lumus mencapai kemerdekaan negara sekali gus memastikan ia tidak dilupakan terutama oleh generasi muda," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini pada Khamis.

Ab Latip
Ab Latip

Beliau difahamkan bahawa program sama turut dianjurkan di daerah Seremban dan Kuala Pilah.

Jelas beliau, sebelum ini, pihaknya menganjurkan program menunggang motosikal kapcai sambil mengibarkan jalur Gemilang sempena sambutan Hari Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pasangan suami isteri, Rahim Markop, 52, dan Zurinah Kepol, 54, antara peserta program yang menarik perhatian apabila memakai baju Jalur Gemilang.

Rahim yang merupakan ikon basikal klasik berkata, sudah menjadi rutin baginya setiap kali Hari Malaysia untuk menyertai program sebegitu.

"Saya seronok sertai aktiviti begini kerana inilah peluang untuk berjumpa dengan kawan baharu.

"Saya dan isteri juga menyertai kayuhan basikal klasik ini sehingga ke peringkat antarabangsa dan di rumah, kami mempunyai 50 buah basikal klasik yang kebanyakannya dibeli dengan harga antara RM400 ke RM500," katanya