Kerajaan perlu pantau harga jualan ayam di pasaran: PPIK

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Datuk Seri Mohd Fared Abdul Ghani)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Datuk Seri Mohd Fared Abdul Ghani)
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) wajib menetapkan harga maksimum penjualan ayam terutamanya dalam pemulihan ekonomi masa kini.

Yang Dipertua Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK), Datuk Seri Mohd Fared Abdul Ghani berkata, KPDNHEP juga perlu turun padang dan berbincang dengan beberapa pengeluar ayam terbesar di negara bagi menyelesaikan isu kenaikan harga ternakan ayam di pasaran.

“Kalau kita kaji, banyak faktor yang diberikan oleh peniaga, pemborong, pembekal dan penternak mengapa harga ayam naik melambung tinggi.

“Itu semua alasan yang sengaja dibuat oleh pemain industri ayam untuk menghalalkan tindakan mereka menaikkan harga ayam di musim pandemik ini.

“Kerajaan tidak boleh berdiam diri, tindakan perlu dilakukan supaya rakyat dari kumpulan B40 tidak tertekan dengan situasi ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, pelbagai perbezaan boleh dilihat terutamanya penjualan ayam di pasar basah dan pasar raya, sedangkan kebanyakan pengeluar adalah orang yang sama.

Beliau berkata, PPIK sangat berharap agar kerajaan melalui KPDNHEP mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menyelesaikan isu besar ini yang menjadi rungutan seluruh masyarakat.

“KPDNHEP perlu bertindak segera mengadakan perbincangan dengan pembekal dan pengeluar termasuk di peringkat ladang untuk mencari kaedah penyelesaian terbaik untuk rakyat di musim pandemik ini.

Artikel Berkaitan:

“PPIK juga meminta agar pengguna cuba beralih dapatkan ayam di pasar raya besar dan pasar raya kerana kualiti serta kesegarannya juga tetap sama seperti yang berada di pasaran runcit luar,” katanya.